Saturday, September 12, 2009

Selamat Hari Raya Edul Fitri

Kami mengucapkan selamat hari raya Edul Fitri dan tidak lupa memohon kemaafan kepada semua pengunjung blog bicaraku-ez yang sentiasa meluangkan masa menjenguk dan mengutus emel, di atas segala kesilapan atau keterlanjuran yang pernah dilakukan secara tidak sengaja sepanjang blog ini beroperasi. Blog bicaraku-ez akan kembali aktif selepas hari raya.

Bagi kesekian kalinya, dukacita dimaklumkan kes penyamaran timbul kembali walau pun mUngkin di pihak sana merasa puas dan gembira kerana dapat mempermain-mainkan orang lain. Memang kita sukar mengerti kehendak sesetengah orang, bukan? Namun apa yang penting, di bulan mulia ini kita kembali merenung kesilapan diri, kealpaan diri yang sengaja kita lakukan atau pun yang tidak sengaja kita lakukan. Mudah-mudahan Allah memberi keampunan-Nya dan memberi ruang dan peluang kepada kita memperbaiki akhlak ke arah yang lebih cemerlang dan diredhai-Nya.

Abaikan segala kata-kata yang tertera di shout box yang menggunakan nama samaran ez pada tarikh 13Sept 02:01, 13Sept 02:02 dan 13 Sept 02:06.

Malam Kemuliaan

Sesungguhnya Kami menurunkan (Al Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya bagi mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.
(Surah Al Qadr:1 - 5)


Maha Kasih dan Maha Sayang Allah kepada hamba-hamba-Nya, di bulan Ramadhan ini dikurniakan pula satu malam yang penuh kemuliaan dan lebih baik dari seribu bulan. Inilah peluang keemasan untuk kita merebut dan manfaatkan anugerah Allah ini. Inilah peluang kita membersihkan segala kesalahan dan mengharapkan keampunan-Nya yang Maha Pemurah dan Maha Mengampuni.

Sama-sama kita mengoptimumkan ibadah dan amalan di malam-malam terakhir ini.

Emelkan kepada ezeerahmani@yahoo.com untuk bercerita lebih lanjut tentang bagaimana adik-adik memeriahkan bulan ibadah ini.

Tuesday, September 01, 2009

UPSR di bulan Ramadhan

Hanya beberapa hari sahaja lagi adik-adik di tahun enam sekolah rendah akan menghadapi peperiksaan UPSR. Hebatnya tahun ini ialah, UPSR berlangsung di bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan dan penuh kemuliaan.

Tentu adik-adik sudah bersiap-siaga menjelang hari-hari yang bakal menjadi sejarah dalam diari hidup tahun ini. Menjelang hari-hari terakhir ini juga, banyakkan berdoa, mohon kekuatan kepada Allah bagi menghadapinya dengan tenang dan dapat menjawab soalan-soalan dengan tepat.

Kami di sini, sentiasa mendoakan kejayaan dan kecemerlangan untuk adik-adik semua.

Sunday, August 23, 2009

Sembang Ramadhan




Alhamdulillah, kita semua diberi peluang oleh Allah menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan kali ini. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini lebih bererti, lebih bermakna dan lebih baik amalan kebajikan yang dilakukan dan mudah-mudahan setiap amalan diberkati Allah.

Alhamdulillah, di bulan yang penuh barakah ini, insya-Allah, 3 buah novel sempat diterbitkan.

1. Hikayat Alang Dhamiri terbitan PTS One - kepada adik-adik yang meminati penceritaan gaya klasik moden, dapatkanlah novel ini di pasaran, ya.

2. Puteri Kristal, terbitan PTS Pro - novel ini istimewa buat adik-adik yang berminat dalam bidang keusahawanan, minat bisnes. Akan terbit tidak lama lagi.

3. Sarah dan SEnduk, terbitan PTS One - ini novel Sarah yang keempat. dijangka terbit hujung bulan ini.

Sempena bulan yang mulia ini, Ezee Rahmani sekali lagi mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa, isi masa adik-adik dengan hal-hal yang bermanafaat dan jauhi hal-hal yang sebaliknya. Mudah-mudah latihan di bulan yang penuh barakah ini dapat diteruskan ke bulan-bulan seterusnya. SEmoga Allah permudahkan, insya-Allah.

Oh ya, tentang penyamar nama ez di shout box, abaikan sahaja apa yang ditulis olehnya. Kami berharap adik-adik bijak menilai. Jangan mudah memberi alamat rumah atau nombor telefon kepada sesiapa yang tidak dikenali.

Tentang hadiah novel pula, kami faham semua berminat namun bilangan hadiah adalah terhad. Oleh itu, terpaksa dibuat pemilihan berdasarkan penerimaan emel yang suka bercerita tentang perkembangan dirinya, apa dibuat sepanjang cuti, bagaimana hubungan dengan keluarga, bagaimana persekolahan adik-adik dan sebagainya.

Monday, August 17, 2009

Tote Bag




Inilah hadiah istimewa cabutan Marhaban ya Ramadhan. Biasanya disebut Tote Bag/Beg Galas, ditempah khas dari sebuah butik. Saya harap adik-adik suka dengan hadiah ini :) Menurut kata Encik Posmen, hari selasa(18/8/09)hadiah tersebut sampai ke alamat adik-adik.

Saturday, August 15, 2009

Cabutan Marhabah ya Ramadhan

Berikut ialah nama-nama yang terpilih bagi cabutan Marhaban ya Ramadhan. Walau pun pada asalnya 5 nama sahaja tetapi tidak mengapa, kami gembira menyenaraikan 6 nama:

1. Yusra binti Abdul Wahid
2. Syifa' binti Zainal Arifin
3. Nurul Balqis binti Basri
4. Ahmad Ibrahim bin Abdul Razak
5. Noor Izzyani binti Mahadzir
6. Nadirah bt Bazer

Insya-Allah hadiah-hadiah akan sampai kepada adik-adik sebelum puasa. Semoga hadiah tersebut dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

Selamat berpuasa, selamat menambahbaikan lagi hubungan kita dengan Allah dengan membanyakkan amal kebaikan.

Wednesday, August 12, 2009

Usahawan Cilik: Puteri Kristal




Inilah kulit buku Usahawan Cilik: Puteri Kristal. Cantik tak? Novel usahawan ini dijangka terbit minggu hadapan. Ada banyak lagi novel di bawah siri Usahawan Cilik yang diterbitkan oleh PTS Pro. Buat masa ini Ezee Rahmani menghantar 3 manuskrip dan Puteri Kirstal ialah manuskrip kedua. Bagi adik-adik yang minat bisnes, bagus miliki koleksi ini.

Marhaban ya Ramadhan

Assalamualaikum, apa khabar adik-adik dan pengunjung-pengunjung bicaraku-ez semua?

Ramadhan menjelang lagi. Hanya beberapa hari sahaja lagi. Syukur, Alhamdulillah kerana kita semua semakin menghampiri Ramadhan walau pun di sana-sini kedengaran ada yang jatuh sakit terutamanya demam dan batuk. Semoga Allah berikan kesembuhan menjelang bulan yang mulia ini dan seterusnya kita semua dapat menjalankan ibadah puasa dengan lebih sempurna,memenuhi siang dan malam dengan amal kebaikan.

Terima kasih, ya Allah kerana masih lagi memberi peluang dan kesempatan kepada kami, mendekatkan diri kepada-Mu.

Sempena menyambut kedatangan Ramadahan yang dirindui, Ezee Rahmani akan membuat undian memilih 5 nama bagi hadiah istimewa sempena Marhaban ya Ramadhan kali ini. Adik-adik boleh emelkan nama penuh dan alamat surat menyurat bagi menyertai undian.

Selamat menyambut kedatangan Ramadhan!

Saturday, July 25, 2009

Riu-riuh PTS Pro



Semasa Progrem Mutiara Minda yang berlangsung di Alam Sentral pada hari sabtu petang, tim PTS Pro mempamerkan satu kelainan dalam mempromosi buku-buku terbitannya. Aktiviti santai yang melibatkan kanak-kanak dan ibu bapa berjaya menarik pengunjung-pengunjung yang bertali arus masuk ke Alam Sentral. Kebanyakkan mereka meninjau dan ada yang terus mengikuti persembahan dan paling menarik ada yang terus memimpin tangan anak-anak mereka bagi mengambil bahagian teutamanya dalam aktiviti mewarna, mencari barang, teka berat buku dan kuiz.
Terima kasih kepada PTS Pro kerana memberi saya peluang hadir di progrem riuh-riuh ini. Memang riuh! SEronok lihat lakaran ceria di wajah-wajah mereka. Tahniah kepada tim PTS Pro!

Kami doakan Adik Ashraf segera sembuh!


Pada hari khamis lepas saya ke Hospital SErdang bagi mengambil bekalan ubat-ubatan seperti biasa. Sepanjang dua tahun berulang-alik ke Hospital SErdang, saya amat berpuas hati dengan khidmat yang diberikan samada doktor pakar atau pun para jururawat yang sentiasa ramah melayan. Istimewa layanannya. Keceriaan di wajah-wajah mereka, jelas menggambarkan mereka gembira dan seronok dengan tugas yang dipikul. Terima kasih saya ucapkan.
Ketika berada di sana saya mendapat panggilan telefon mengatakan ada seorang pembaca cilik kita yang sedang mendapat rawatan di tingkat 5, wad 5B. Tanpa membuang masa saya mengambil kesempatan melawat adik Ashraf, berusia 7 tahun. Tersenyum lebar melihat kedatangan saya. SElamba sahaja dia bercerita berapa kali dia disuntik dan diambil darah sambil menunjukkan kesan tusukan jarum di tangannya. Adik Ashraf memang super berani! Semoga Adik Ashraf cepat sembuh, ya!

Tuesday, July 14, 2009

Cendawan yang lemak dan manis



Saya sedang kemaskan lagi manuskrip novel Cendawan. Salah sebuah buku dalam siri Usahawan Cilik. SEbelum memulakan penulisan, beberapa kali saya berulang-alik ke tapak projek cendawan yang terletak di Dengkil bagi mengumpul sebanyak mungkin maklumat berkaitan. Bagi memahamkan lagi,saya membeli 50 beg cendawan. Saya mahu melihat, menguruskan sendiri daripada proses awal hingga ke proses akhir. Setiap peringkat dalam cendawan ini mengkagumkan. Apabila melihat kelopak-kelopak kecil mula berputik dan dalam masa sehari sahaja ia berkembang dan berkembang dan terus berkembang dan di hari keempat, saya boleh memetiknya! Sungguh menarik dan mengkagumkan ciptaan Tuhan ini. Subhanallah.

p/s Gambar menunjukkan cendawan masih mengeluarkan hasil walau pun tidak sebagus pusingan awal. Ini ialah pusingan ketujuh tetapi masih manis, lemak dan wangi. Masak apa pun sedap. Sup cendawan, masak lemak cendawan, cendawan goreng?

Monday, June 29, 2009

Siri Usahawan Cilik


Asssalamualaikum, apa khabar semua?
Semoga adik-adik dan semua yang mengikuti blog ini dalam keadaan sihat sejahtera di samping keluarga tersayang :)

Kita sekarang sudah memasuki bulan Rejab. Selepas bulan REjab, bulan Syaaban. Selepas itu bulan Ramadhan yang ditunggu-tunggu menjelang tiba. Mudah-mudahan kita dipanjangkan umur dan berpeluang menjalani ibadah puasa bersama-sama lagi kali ini. Seronoknya dapat bersahur bersama-sama, berbuka puasa bersama-sama dan seronoknya dapat menunaikan solat terawih bersama-sama di masjid!

Makcik ez baru sahaja siapkan dua buah novel di bawah siri usahawan cilik. Siapa sudah memiliki novel-novel tersebut? Angkat tangan! he he he

Abang, Adik dan Ayam juga novel di bawah siri usahawan cilik. Novel ini tentang bisnes ayam kampung. Siapa suka makan ayam kampung? Angkat tangan sekali lagi! he he he Sekarang makcik ez tambah dua buah novel lagi di bawah siri ini. Judulnya belum diputuskan lagi tetapi kisahnya ialah tentang bisnes kristal dan bisnes cendawan.

Kepada adik-adik yang berminat dan bercita-cita menjadi usahawan, dapatkan siri ini, ya!

Salam sayang.

Thursday, June 18, 2009

Keputusan Kuiz 2: Fortuna

1. Adik Hanif bin Zaini
2. Adik Hani Humairah bt Farid
3. Adik Engku Juwairiyah bt Engku Indong

Keputusan Kuiz 3: Islamika

1. Adik Aiman bin Samsudin
2. Adik Nurul Hidayah btAhmad
3. Adik Firdaus bin Noh

Tahniah kepada adik-adik semua. Menurut kata Encik Posmen, hadiah akan tiba di alamat adik-adik pada hari sabtu. Apa hadiahnya? Namanya pun hadiah misteri!
Bagi adik-adik yang tidak berjaya boleh cuba lagi.

Salam kuiz!



Assalamualaikum, apa khabar semua?

Kami doakan semoga adik-adik semua berada dalam keadaan sihat sejahtera di samping keluarga tersayang. Ada adik-adik yang bercerita, nenek dan datuk pun tinggal bersama mereka. Itu lebih seronok dan meriah!
Satu perkara yang paling indah apabila beberapa lapisan generasi berada di bawah satu bumbung ialah kita dapat belajar banyak hal. Belajar apa? Banyak! TEntang adab, tentang budaya, tentang kasih sayang dan yang paling paling paling indah ialah kita dapat mendengar kisah dan pengalaman hidup mereka berdua. Adik-adik pernah dengar kisah mereka?

Sibuk? TEntulah sibuk tidak terhingga lebih-lebih lagi sekarang sesi baru persekolahan sudah seminggu bermula. Makcik ez terima berita, ada adik-adik yang kehilangan buku, kehilangan jadual malah kehilangan bekas pensel! Nampaknya mesti lancarkan operasi gempur, geledah dan selongkar bilik! Semoga barang yang silap tempat letak atau terselit sana-sini dijumpai segera. Itu bermakna misi berjaya!

Salam gempur :)

Sunday, June 14, 2009




Assalamualaikum, apa khabar semua?
Semalam dan hari ini bermulalah hari-hari persekolahan setelah dua minggu bercuti. Ke mana adik-adik semua sepanjang cuti atau tidak ke mana-mana? Walau apa pun tentu ada berbagai aktiviti yang dilakukan, bukan?

Emelkan kisah sepanjang percutian dua minggu adik-adik. Tidak ada had muka surat. Tulislah sebanyak mana yang adik-adik suka. Coretkan dan kongsikan segala kenangan manis dan pahit, pengalaman indah, keseronokan, suka dan duka sepanjang percutian tersebut.

Karya terbaik tentu akan mendapat ganjarannya. Bagi adik-adik yang tidak berjaya pula, cuba dan cuba lagi.

Selamat bersekolah semula :)

p/s Keputusan kuiz akan diumumkan beberapa hari lagi :)

Thursday, May 28, 2009

Soalan Kuiz 3: Islamika

Soalan 1: Dalam buku Usaha Burung Pipit, siapakah yang hendak diselamatkan oleh burung pipit daripada dibakar?
Soalan 2: Apakah kisah yang paling menyentuh hati anda dalam buku Penghuni Langit ke Tujuh?
Soalan 3: Dalam buku Indahnya Cinta, siapakah yang digelar Saudagar Tuhan? Beliau meninggal ketika berusia berapa tahun?
Soalan 4: Saya suka baca karya Ezee Rahmani kerana .....(tidak lebih 15 patah perkataan)


Sertakan sekali butir-butir di bawah:

Nama penuh
Umur
Nama sekolah
Alamat
No telefon

Jawapan hendaklah di emelkan ke alamat ezeerahmani@yahoo.com. Tarikh tutup: 14hb Jun 2009. Adik-adik yang beralamat di Semenanjung Malaysia layak menyertainya. 3 jawapan paling tepat dikira sebagai pemenang.

Jom berkuiz!

Soalan Kuiz 2: Fortuna

(Merujuk kepada 2 buah novel. Kawan dan Kerana Takdir-Nya)

Soalan 1: Dalam novel Kawan, mengapa Atan menangis?
Soalan 2: Dalam novel Kawan, berlaku jejak kasih. Siapa bertemu dengan siapa?
Soalan 3: Namakan anak-anak Mohd Rasul.
Soalan 4: Apakah kisah paling mencuit hati kamu dalam novel Kerana Takdir-Nya?
Soalan 5: Saya suka baca karya Ezee Rahmani kerana .....(tidak lebih 15 patah perkataan)

Sertakan sekali butir-butir di bawah:

Nama penuh
Umur
Nama sekolah
Alamat
No telefon

Jawapan hendaklah di emelkan ke alamat ezeerahmani@yahoo.com. Tarikh tutup: 14hb Jun 2009. Adik-adik yang beralamat di Semenanjung Malaysia layak menyertainya. 3 jawapan paling tepat dikira sebagai pemenang.

Jom berkuiz!

Tuesday, May 26, 2009

Assalamualaikum, apa khabar semua?
Masih pening dengan peperiksaan atau sudah selesai? Lakukan yang terbaik, ya! Kami di sini mendoakan adik-adik semua sukses selalu.

Ramai yang tertanya-tanya bila Kuiz 2 dan Kuiz 3 akan disiarkan. Sebenarnya kami menunggu adik-adik selesai peperiksaan kerana ada yang tidak online sepanjang waktu tersebut.

Hari jumaat mula cuti, bukan? Jadi, pada hari Jumaat akan disiarkan soalan-soalan bagi kedua-dua kuiz serentak.



Kuiz 2: Fortuna


Kuiz 3: Islamika

Monday, May 18, 2009

Pesta Buku lagi!

Tarikh Pesta: 29 Mei - 7 Jun 2009

Waktu: 11.00 pagi - 10.00 malam

Tempat: Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa di MINES Resort City, Kuala Lumpur

Penganjur: MINES

Thursday, May 14, 2009

Keputusan Kuiz 1: Siri Sarah

Assalamualaikum,

Apa khabar adik-adik semua? Makcik Ez doakan semuanya sihat di samping keluarga dan tentunya masih dalam suasana peperiksaan. Ada juga yang akan menghadapinya minggu hadapan, bukan? Kami doakan adik-adik semua sukses!

Banyak juga emel jawapan kuiz 1: Siri Sarah yang diterima. Pertamanya kami mahu mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan adik-adik semua memandangkan ini pertama kali kami adakan kuiz.

Sebagaimana yang dipersetujui, kami memilih 3 jawapan terbaik sebagai pemenang. Kepada adik-adik yang belum berjaya, cuba lagi di kuiz yang akan datang, ya. Ada banyak lagi hadiah :)

Berikut ialah keputusan Kuiz 1: Siri Sarah
1) Adik Nadirah bt Bazer
2) Adik Tengku Aisyah Humaira
3) Adik Engku Nurul Aqilah

Hadiah-hadiah sudah pun diposkan sebentar tadi menggunakan khidmat Pos Laju. Kami harap laju dan lancar perjalanannya dan selamat sampai ke tangan adik-adik semua :)

Salam ceria.

Monday, May 11, 2009

Hadiah untuk Guru

Apa khabar semua? Di sini Makcik Ez perpanjangkan promosi yang diiklankan oleh PTS

Hai! Hari guru semakin hampir. Di sini saya mahu cadangkan satu hadiah yang paling praktikal, murah dan eksklusif kepada kawan-kawan. Bukan hanya pelajar sekolah rendah dan menengah sahaja yang boleh menggunakannya. Pelajar univeristi juga sesuai menggunakannya. Bagi lebih jelas lagi, tontonlah video di bawah ini:



http://www.youtube.com/watch?v=qfWM0MF56Mo


Bagaimana? Mudah bukan? Kawan-kawan boleh mendapatkannya di kedai-kedai buku ataupun beli secara online di http://pts.com.my/index.php/buku/3140/

Sunday, May 10, 2009

Musim Peperiksaan

Apa khabar semua? Semoga kita semua sihat sejahtera dan semakin bersemangat meneruskan hari-hari mendatang dengan lebih baik daripada semalam.

Sekarang ini, tentu pelajar-pelajar di sekolah rendah dan menengah tekun mengulangkaji sebagai persiapan akhir menjelang peperiksaan pertengahan penggal, bukan? Begitu juga pelajar-pelajar IPT dan setengah-setengahnya sudah pun selesai berjuang.

Walau apa pun yang kita lakukan, lakukan yang terbaik dan banyakkan berdoa di samping mohon restu daripada orang tua dan guru-guru serta sesiapa sahaja yang selama ini menjadi penyokong kuat dalam hidup kita. Doa mereka besar impaknya kepada kejayaan kita. Selepas itu, apa pun hasilnya kita sudah bersedia dan menerimanya dengan dada yang lapang,Insya Allah.

Saya juga turut menadah tangan mendoakan kejayaan untuk pelajar-pelajar semua di dunia dan akhirat, di mana sahaja kalian berada. Amiin.


p/s Berikutan musim peperiksaan, kuiz seterusnya ditanggohkan. Pemenang Kuiz 1 Siri Sarah akan diumumkan sedikit masa lagi.

Salam ceria.

Tuesday, April 28, 2009

SOALAN KUIZ 1: SIRI SARAH

Soalan 1: Siapakah nama kawan-kawan baik Sarah?

Soalan 2: Berapa kali Sarah bertindik?

Soalan 3: Namakan sejenis bunga mawar yang ditanam oleh Sarah.

Soalan 4: Saya suka baca karya Ezee Rahmani kerana .....(tidak lebih 15 patah perkataan)

Sertakan sekali butir-butir di bawah:

Nama penuh
Umur
Nama sekolah
Alamat
No telefon

Jawapan hendaklah di emelkan ke alamat ezeerahmani@yahoo.com. Bukan di ruangan komen, ya!

Tarikh tutup: 10hb Mei 2009. Pemenang akan diumumkan seminggu selepas tarikh tutup. Adik-adik yang beralamat di Semenanjung Malaysia layak menyertainya.

3 jawapan terawal diterima dan yang paling tepat dikira sebagai pemenang.

Jom berkuiz!

Sunday, April 26, 2009

PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR

Berakhir sudah pesta buku yang semakin teruja sambutannya berbanding tahun-tahun lepas. Dalam kegembiraan berjumpa dengan peminat-peminat, makcik ez juga rasa sedih sebab masih ada lagi peminat-peminat yang tidak sempat berjumpa. Pada hari sabtu dan ahad terutamanya keadaan semakin sesak sehingga kami terpaksa beralih ke ruang pentas sehingga lewat 12 tengah hari. Cari penulis Ainin Naufal pun tak jumpa disebabkan terlalulah sesaknya.

Makcik ez mohon berbanyak-banyak maaf kepada pembaca yang tidak sempat bertemu dan terma kasih di atas sokongan adik-adik semua. Insya Allah satu hari nanti kita dipetemukan, ya.

Thursday, April 23, 2009

PENGUMUMAN

PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2009
17 - 26 April 2009 di PWTC


Slot bersama penulis yang sepatutnya diadakan pada hari sabtu dan ahad, terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab teknikal yang tidak dapat dielakkan. Walau bagaimana pun, insyaAllah kami akan berada di sana sekitar jam 11 pagi hingga 12 tengah hari. Sekiranya kesulitan berjumpa kami, adik-adik boleh ke kaunter.

Jumpa di sana!

Thursday, April 16, 2009

Promosi Kuiz 3



Ini pula ialah buku-buku Ezee Rahmani yang diterbitkan oleh PTS Islamika. Sudah baca ketiga-tiga buku ini? Jika belum dapatkan segera di Pesta Buku yang sedang berlangsung. Ia sarat dengan pelbagai kisah tauladan.

Bagi pembaca buku-buku ini juga ada kuiz disediakan. Soalannya? Pun kena tunggu selepas berakhir Pesta Buku 2009 :)

Monday, April 13, 2009

Promosi Kuiz 2


Sudah miliki kedua-dua buku ini? Jika belum, dapatkan di Pesta Buku nanti. Ezee Rahmani akan adakan kuiz bagi kedua-dua novel ini selepas tamat Pesta Buku. Ini ialah kuiz kedua selepas kuiz Sarah. Soalan kuiz? Kenalah tunggu juga :)

Promosi Kuiz 1


Sudah miliki ketiga-tiga siri Sarah ini? Jika belum, dapatkan di Pesta Buku nanti. Ezee Rahmani akan adakan kuiz selepas berlangsungnya Pesta Buku. Soalan kuiz? Tunggu!

Sunday, April 12, 2009

PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2009
17 - 26 April 2009 di PWTC


Ezee Rahmani akan berada di gerai PTS,

Hari : Sabtu dan Ahad
Tarikh : 25 dan 26hb April 2009
Waktu : 11 pagi hingga 12 tengah hari

Jumpa di sana, ya!

Thursday, April 09, 2009

PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2009
17 - 26 April 2009 di PWTC


Dapatkan buku-buku terbaru karya EZEE RAHMANI

Saturday, February 28, 2009


Sebuah lagi novel tulisan Ezee Rahmani yang mengisahkan Fitri dan Balqis, dua adik-beradik yang tinggal di pinggir bandar. Fitri merangka satu kertas kerja dengan ayahnya untuk membela 30 ekor ayam kampung. Ayah dan ibunya turut memberi bantuan bagi mereka memulakan projek.
Tanpa disangka-sangka usaha mereka dipuji oleh guru dan penduduk kampung. Permintaan ayam kampung juga makin bertambah.
Usaha murni mereka dibenci oleh Ali, rakan sekelas Fitri. Ali membuat pelbagai masalah termasuk mencuri duit Fitri.
Balqis mengalami masalah kerana sudah mula menyayangi ayam-ayam yang dipeliharanya.
Ayah mereka pula menetapkan syarat lulus semua subjek dengan cemerlang barulah mereka boleh meneruskan projek sedangkan Fitri ada gagal dalam beberapa subjek sebelum ini. Dapatkah mereka mengatasi masalah mereka?

Sunday, February 22, 2009

Top 20 Novel Remaja PTS di MPH Alamanda - Januari 2009

1. Aku Mahu Ke New York (Boxset)
2. Sarah dan Bunga Mawar
3. Bacakan Saya Satu Cerita
4. Aku Mahu Ke New York 2
5. Dear Yayah The Diary
6. Si Manis Amni: Operasi Penculik Miang
7. Adam Kecil: Sakit Gigi
8. Aku Mahu Buli
9. Dunia Sains Aiman 5: Alam Ria Cuti Sekolah
10. Ketua Bilik LA 101
11. Sarah dan Kasut Tumit Tinggi
12. Aku Mahu Popular
13. Adam Kecil: Hampir Kena Tangkap
14. Dua Dunia
15. Aku Mahu Saiz S
16. Impiana
17. Sekolah Menengah?
18. Dear Yayah 3
19. Mengapa Aku Jadi Pengetua?
20. Dunia Sains Aiman 4: Diari Ramadan Aiman
sumber: UNIKA PTS

Wednesday, February 04, 2009

Apa khabar semua?

Assalamualaikum, apa khabar semua?
Makcik ez doakan semuanya berada dalam sihat sejahtera di samping keluarga tersayang. Tentu adik-adik semua sibuk dengan lambakan buku-buku sekolah sekarang ini (bukan buku-buku cerita/novel ya :)) maklumlah hari-hari persekolahan semakin rancak berjalan. Makcik ez doakan adik-adik semua dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran. Tidak faham, cepat-cepat bertanya kepada guru yang mengajar. Jika tidak sempat bertanya di kelas, kejar cikgu hingga ke bilik guru atau buat temu janji. Tentu cikgu seronok lihat anak muridnya rajin di tahap yang mengujakan begitu :).

MInggu lepas, makcik ez ada temu janji dengan Cik An, editor PTS Profesional berkaitan manuskrip usahawan cilik yang makcik ez pulun sakan selama dua bulan ini. Kami berbincang bagi mengemaskan lagi manuskrip. Selepas ditokok tambah dan ada juga yang perlu dipadamkan, akhirnya siaplah manuskrip usahawan cilik tersebut. Judulnya? Tunggu makcik ez umumkan di sini, ya. InsyaAllah, ia dijangka terbit pada bulan Mac ini. Terima kasih kepada Cik An :)

Ketika di sana, sempat juga berjumpa dengan ramai lagi editor. Ada Cik Syikin, Cik Lia, Cik Firdaus, Cik Haryani,Encik Alif pun ada. Kami sempat berbincang tentang beberapa perkara berkaitan buku. Terima kasih kepada semua editor yang begitu mesra dan ceria sekali.

Makcik ez banyak terima soalan termasuk melalui e-mel yang bertanya tentang siri novel Sarah. Bila Sarah 4 akan terbit? InsyaAllah, makcik ez sudah dapat lampu hijau daripada pihak PTS One Cik Lia yang manis. Sekarang ini, makcik ez sedang kumpul bahan. Doakan ya, supaya makcik ez diberi kekuatan mengumpul bahan-bahan dan seterusnya menyiapkannya. Nak tahu ada judulnya? Tunggu!!!

Saturday, January 17, 2009

Bahasa sepi desiran angin

Debu pasir berterbangan
Ditiup angin
Menyentuh lembut wajah wajah kesayangan
Yang berdiri gagah di medan juang

Tiupan angin yang tidak setara
Menyampai berita dari sahara
Kabarkan kisah para syuhada
Berjuangnya bukan dek kerna harta

Angin bertiup berpusar pusar
Ligat menyampai berita besar
Kepada semua makhluk yang tekun mendengar
Desir angin terus berputar

Telinga siapakah yang mendengar itu?
Bisikan angin diselubung pilu?

Wajah manakah yang merasa itu?
Sentuhan angin diselimut syahdu?

Tebar angin memenuhi alam
Menyampai kabar dan salam
Dari sudut penjuru alam
Kepada seluruh umat Islam

Gelora angin berpusar hebat
Menyampai kabar kisah ummat
Yang dianiaya hingga ke akhir hayat
Sedang segelintir dibuai nikmat

Tiupan angin bergerak laju
Menggesa agar terus maju
Apa lagi yang ditunggu tunggu
Oraklah langkah halakan tuju!!!

Angin merayu membisik sepi
Sana sini umat dikeji
Si kafir laknat berpuas hati
Melepas kesumat sesuka hati

Gerak angin selembut bayu
Beralun sayu sambil menyeru:
Ayuh lah wahai teman temanku
Marilah berganding bersama-samaku

Kita perangi kafir durjana!!!!
Kita buru hingga ke penjuru dunia!!!!
Biar gementar terbeliak mata!!!!
Inilah kami…..tidak sekali gentar mara!!!!!

Sunday, December 14, 2008

TOP Seller PTS di MPH Alamanda November 2008

Sastera Remaja

1. AKU MAHU TEMAN TAPI MESRA

2. DEAR YAYAH THE DIARY

3. SARAH DAN KASUT TUMIT TINGGI

4. AKU MAHU SAIZ “S”

5. KOTAK RAHSIA ISMAH

6. ADAM KECIL: DICAKAR HANTU

7. KETUA BILIK LA 1O1

8. DUNIA SAINS AIMAN: DIARI RAMADAN

9. MENGAPA AKU JADI PENGETUA?

10. ABANG, ADIK DAN KASUT

11. DUA DUNIA

12. AKU MAHU POPULAR

13. TABIK CIKGU

14. ADAM KECIL: DEBARAN BUKU BIRU

15. EMILDA

16. ADAM KECIL: HAMPIR KENA TANGKAP

17. MY SECRET

18. ADAM KECIL: SUNGAI KHAYALAN

19. DEAR YAYAH 4

20. ADAM KECIL: TERLEBIH MAKAN

21. KEMBAR TERPILIH: DI AMBANG MAUT

22. DOA UNTUK AKU

23. IMPIANA

24. MELAH MELIA 2

25. TAK BISA MEMILIHMU

26. ADAM KECIL: LARI DARI RUMAH

27. DUNIA SAINS AIMAN : DARI RUSIA KE MALAYSIA

28. SEKOLAH KAMPUNG

29. CERITA ANTARA KITA

30. USAHAWAN CILIK: GARAJ AIMAN



Buku Umum

1. TRAVELOG DAKWAH: MENITI HARI ESOK

2. TRAVELOG HAJI: MENGUBAH SEMPADAN IMAN

3. HAJI MUDA: TIP-TIP MENJADI TETAMU ALLAH

4. BUKAN YANG PERTAMA

5. LAW OF ATTRACTION: Hukum Tarikan

6. 99Q: KECERDASAN BERASASKAN ASMAUL HUSNA

7. INDAHNYA CINTA

8. TERAPI SOLAT TAHAJUD

9. DOA MURAH REZEKI

10. SALJU SAKINAH

11. BERBICARA CARA NABI

12. HIDUP DIREDHAI TUHAN

13. 55 PETUA ORANG BERJAYA

14. 55 SILAP MATA MUDAH

15. WARKAH CINTA BERBAU SYURGA

16. REVOLUSI IQ-EQ-SQ

17. AURA PERSONALITI WARNA

18. TARIQ: MENANG ATAUPUN SYAHID

19. SURAH-SURAH RINDU

20. QURAN SAINTIFIK (ed. jimat)

Petikan: Universiti Terbuka PTS (UNIKA PTS)

Tuesday, December 02, 2008

Sehari Sebuah Buku

BERBEZA dengan kebanyakan novel cinta komersial di pasaran, buku ini sebaliknya merakam kisah cinta sebenar yang tercatat dalam lipatan sejarah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW serta sahabat Baginda.

Mengangkat kisah cinta daripada pelbagai landasan perhubungan seperti kasih ayah dan ibu kepada anaknya, serta kesetiaan dan pengorbanan seorang suami kepada isteri dan sebaliknya, menjadikan buku ini sarat dengan elemen-elemen kasih sayang sejati.

Koleksi 43 kisah cinta agung yang mencapai darjat kekasih Allah SWT itu selayaknya dijadikan panduan kepada umat Islam dalam mencari keredaan dan kebahagiaan Ilahi ketika memadu kasih.

Berlandaskan rasa cinta sejati seperti yang ditekankan dalam Islam, kisah cinta di dalam buku ini biarpun dibawa dalam bentuk penceritaan yang santai dan menghiburkan, namun tetap berjaya menyampaikan mesej dan maksud sebuah percintaan yang hakiki.

Judul: Indahnya Cinta, Kisah-Kisah Kekasih Allah
Penulis: Ezee Rahmani
Penerbit: PTS Islamika - PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
ISBN: 978-967-5137-00-6


Petikan ruangan Sehari sebuah buku, Utusan Malaysia (31/10/2008)
MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
.

Tuesday, November 18, 2008

Selamat bercuti!
Apa rancangan anak-anak semua?

Inilah masanya kita lebih dekat dengan ibu, ayah dan adik beradik. Juga sanak saudara jauh dan dekat. Dengan kawan-kawan sekolah? Tentu rindu sebab tidak dapat jumpa sekerap waktu bersekolah. Itu pun jika tinggal berjauhan. Apa pun masih boleh terus berhubung, bukan? Ceria-ceriakan hari-hari cuti ini.

Bosan? Tidak perlu bosan sebab banyak rancangan boleh dilakukan sepanjang cuti walau pun di rumah sahaja. Boleh senaraikan apa rancangan anak-anak semua?

Bijak merancang cuti, ya!


Wednesday, November 05, 2008

TOP 20 Bulan Oktober di MPH Alamanda Putrajaya

Buku-buku Remaja:

1. REMAJA @ PTS ONE 2008
2. AKU MAHU TEMAN TAPI MESRA
3. MENGAPA AKU JADI PENGETUA?
4. ADAM KECIL: DICAKAR HANTU
5. IMPIANA
6. MELAH MELIA 2
7. KETUA BILIK LA 1O1
8. KOTAK RAHSIA ISMAH
9. SARAH DAN ANTING-ANTING
10. SEKOLAH MENENGAH?
11. TABIK CIKGU
12. ABANG, ADIK DAN KASUT
13. DUNIA SAINS AIMAN: DIARI RAMADAN
14. DOA UNTUK AKU
15. EMILDA
16. SEKOLAH KAMPUNG
17. DUNIA SAINS AIMAN: DARI RUSIA KE MALAYSIA
18. ADAM KECIL: DEBARAN BUKU BIRU
19. MY SECRET
20. MELAH MELIA

Petikan dari UNIKA PTS http://www.universitipts.com/

Wednesday, September 24, 2008

Hari raya untuk siapa?



Ketika Fatimah binti Abdul Malik dipinang untuk Umar bin Abdul Aziz, Umar belum memegang jawatan khalifah. Selepas beberapa tempoh pertunangan, sebuah majlis besar-besaran diadakan bagi meraikan perkahwinan kedua mempelai itu. Pakaian pengantin Fatimah bergemerlapan dengan pelbagai perhiasan emas dan permata yang tidak ternilai harganya.


Sebaik sahaja rakyat jelata melantik Umar sebagai Khalifah, beliau mula menjalani hidup yang lebih sederhana. Tidak lagi dengan gaya hidup di raja yang serba mewah. Pada suatu hari beliau menemui isterinya. Kecantikan isterinya semakin terselah dengan perhiasan barang kemas menyaluti tubuhnya. “Saya mahu kamu membuat satu pilihan.”


“Apakah pilihan itu?”


“Segala barang kemas berlian dan pertama yang kamu miliki atau diri saya.”


Fatimah merapatkan dirinya kepada suami tercinta. Satu demi satu ditanggalkannya segala barang kemas permata berlian yang ada di sekujur tubuhnya. Sehinggalah ke seutas kalung mutiara yang tinggi nilainya, hadiah daripada ayahnya, Abdul Malik turut dilurutinya. “Saya lebih rela melepaskan semua kekayaan ini tetapi tidak kamu.”


Umar menatap wajah isterinya dengan penuh mesra. Beliau amat menyintai isterinya dan mahu mengajak bersama-sama menghayati hidup sederhana sepertimana yang dijalani oleh Nabi Muhammad. “Terima kasih, kerana memilih saya.”


Semua barang kemas milik isterinya dibawa ke perbendaharaan negara. Sejak hari itu mereka sekeluarga hidup cukup sederhana sehingga pakaian dan makan minum mereka dicatu supaya tidak berlebihan dan membazir. Makanannya hariannya seperti kebanyakka rakyat miskin. Roti dan sedikit garam.


Pernah suatu hari anak-anaknya meminta pakaian baru bagi menyambut hari raya. “Esok hari raya. Bolehkah kami berpakaian baru?”


Dengan sabar beliau mengucapkan satu kata-kata indah yang boleh dijadikan peringatan bagi kita yang begitu bermewahan menyambut setiap kali musim perayaan. “Hari raya bukan bagi orang-orang berpakaian baru.”


“Hari raya untuk siapa?”


“Hari raya adalah bagi orang-orang yang takut kepada Allah.”


Walaupun pengurus perbendaharaan negara memujuknya agar menerima wang tambahan supaya kesempitan hidupnya boleh diringankan tetapi dimarahi pula oleh Khalifah Umar.
Khalifah Umar bin Abdul Aziz hanya sempat memerintah selama tiga puluh bulan. Ketika itu beliau berusia empat puluh tahun. Beliau diracun oleh kerabat di raja Umayyah yang tidak berpuas hati dengan cara pemerintahannya.


Dalam tempoh pemerintahannya yang singkat itu beliau berjaya membawa banyak perubahan. Kebajikan rakyat jelata, melayani sebaiknya setiap lapisan rakyat dengan adil. Pasukan tentera berjaya sampai hingga ke pintu masuk barat Parsi dan timur China. Sedang ketika itu Portugal dan Sepanyol sudah pun berada dalam kekuasaannya.

(Petikan Indahnya Cinta)

Friday, September 05, 2008

Salam Ramadhan
bulan barakah, rahmat dan kebahagiaan
bersama kita merebut peluang hebat ini

Monday, June 16, 2008

Saya mahu terbang!

“Mari ikut ibu ke sungai.”
Anak kura-kura itu mengekori ibunya. Sesekali ia mendongak ke langit. Tidak disedarinya ia tersepak sebiji batu dan tergolek jatuh. “Mak! Tolong saya!”

Ibunya menoleh ke belakang dan berpatah balik. Mereka kembali berjalan semula. Tetapi matanya masih leka mendongak ke langit. “Tengok di hadapan kamu! Ada batu!”

Hampir sahaja anak kura-kura terlanggar dan tergolek lagi. Ibunya menggelengkan kepala melihatkan perangai anaknya. “Tengoklah ke hadapan ketika berjalan. Barulah selamat perjalanan kamu.”

“Saya melihat burung-burung itu terbang.”

“Mereka juga seperti kita. Pagi-pagi keluar mencari makan.”

“Tetapi mereka dapat terbang!”

“Sebab mereka dikurniakan sepasang sayap!”

“Mengapa kita tidak diberikan sepasang sayap seperti burung?”

Ibu kura-kura menoleh ke arah anaknya dan ketawa. “Apa agaknya nama kita sekiranya badan bercengkerang dan bersayap?”

“Apa salahnya. Namakan apa-apa sahaja asalkan boleh terbang seperti mereka.”

“Bolehkah kita terbang dengan cengkerang yang berat di belakang ini?”

Anak kura-kura menarik muka masam. Muncungnya semakin panjang. Ibu kura-kura mendekatinya. “Mengapa bersedih begini?”

“Saya ingin jadi seperti burung-burung itu!”

“Tetapi kita dilahirkan sebagai seekor kura-kura.”

“Saya tidak mahu jadi kura-kura! Saya mahu jadi seekor burung!”

“Mengapa?”

“Saya mahu terbang jauh! Saya bosan berjalan perlahan begini!”

“Mari sini dekat ibu,” ajak ibu kura-kura sebaik sahaja mereka tiba di tebing sungai. Beberapa tangkai kangkung liar ditariknya ke tepi. Itulah makanan mereka. “Kamu fikir menjadi burung itu bagus?”

Anak kura-kura mengangguk. “Saya boleh terbang dan tiada siapa boleh kacau saya!”

“Berbanggalah dengan apa yang diberikan kepada kita. Kamu patut bangga dilahirkan sebagai seekor kura-kura.”

“Apa kelebihan yang saya ada? Saya tidak boleh terbang!”

“Kamu patut bangga kerana memiliki sebuah cengkerang yang melindungi kamu ketika bahaya. Burung ada cengkerang?” Anak kura-kura menggeleng.

“Kita ada rumah bergerak. Cengkerang itulah! Burung ada rumah bergerak?”
Anak kura-kura menggeleng lagi. Ibu kura-kura tersenyum. “Apabila hari hujan sarang mereka basah dan mereka anak beranak basah kuyup dan kamu?”

“Saya boleh diam di dalam cengkerang, rumah bergerak saya ini!”

“Mereka terpaksa terbang jauh mencari makanan dan membawa makanan untuk anak-anak mereka dan kamu?”

“Saya boleh berjalan bersama ibu dan dapat makan dengan mudah!”

“Pandai! Ucaplah terima kasih wahai tuhan kerana menjadikan saya seekor kura-kura!”

Wednesday, May 21, 2008

Kembalikan 200 ekor unta milik saya

“Saya adalah wakil penduduk kota Mekah bernama Abdul Mutalib.”
Sebaik sahaja tentera Abrahah tiba di luar kota Mekah, mereka menghantar seorang utusan dengan sepucuk surat yang menjemput wakil penduduk kota Mekah berbincang dengan Abrahah tentang rancangannya meruntuhkan kaabah.


Abrahah terpegun sejenak melihatkan penampilan Abdul Mutalib dan tutur katanya yang menarik. Sangka Abrahah, kedatangan Abdul Mutalib bagi membincangkan surat yang diutuskannya berkaitan mengajak penduduk kota Mekah menyokongnya dan tidak mengganggu tenteranya meruntuhkan kaabah.

“Kedatangan kami tidak bermaksud memerangi penduduk kota Mekah. Saya hanya bertujuan meruntuhkan kaabah sahaja,” kata Abrahah memulakan bicaranya.

“Begitu juga dengan kami, tidak bermaksud memerangi tentera tuan keran kami tidak bersedia untuk memerangi tentera tuan yang begitu besar dan lengkap bersenjata!”

“Baiklah. Beritahu saya apakah pendirian penduduk Mekah sekarang?”

“Kami hanya mengharapkan tuan dapat mengembalikan segala harta benda dan binatang ternakan yang dirampas oleh tentera-tentera tuan termasuklah 200 ekor unta milik saya..”

“Apa?” Pandangan Abrahah mula sinis terhadap Abdul Mutalib. “Kata-kata tuan ini langsung tidak mengutamakan keselamatan kaabah yang menjadi tumpuan seluruh umat manusia. Malah tuan lebih bimbangkan harta benda dan binatang ternakan?”

“200 ekor unta itu ialah milik saya. Sewajarnya saya berusaha mendapatkannya kembali. Sedangkan kaabah itu ada pemiliknya. Maka pemiliknyalah yang akan berusaha melindunginya.”

Abrahah terkejut bercampur gembira mendengar kata-kata Abdul Mutalib seolah-olah berlepas diri dari menjaga kaabah. “Kalau begitu saya tidak menghadapi sebarang masalah meruntuhkannya!”

“Terserahlah kepada tuan dan pemilik kaabah. Itu ialah urusan tuan dan pemiliknya sendiri. Apa yang saya perlukan sekarang, tuan kembalikan segala harta benda dan ternakan yang dirampas oleh tentera-tentera tuan.”

Abrahah dengan senang hati mengarahkan tentera-tenteranya menyerahkan segala harta benda dan binatang ternakan sepertimana yang dituntut oleh Abdul Mutalib. Pulanglah Abdul Mutalib bersama harta benda dan binatang ternakan dengan dada yang berdebar-debar, “Saya pasti dan yakin pemilik kaabah tidak akan membiarkan ia dimusnah!”

Monday, May 19, 2008

Alhamdulillah kebanyakkan adik-adik sudah tamat peperiksaan. Tentu lega, bukan? Maklumlah sepenggal memerah otak dan mengulangkaji pelajaran. Selain berdoa itulah yang amat penting kita sebagai pelajar lakuan. Iaitu berusaha sedaya mungkin untuk berjaya. Kami di sini turut mendoakan kejayaan adik-adik semua, amin.

Hmm... tinggal beberapa hari lagi cuti persekolahan. Malah lebih lama! 2 minggu! Apa rancangan adik-adik sepanjang cuti. Sudah ada rancangan?

Thursday, May 15, 2008

Kasihnya ibu

Perlahan-lahan Nasaruddin mendekati anak rusa comel dan dengan mudah sahaja dia berjaya menangkapnya. Anak rusa comel itu diletakkan di atas kuda di hadapannya. Kemudian dia menepuk-nepuk leher kuda tunggangannya.

Kuda Nasaruddin yang memahami arahan tuannya, berpusing ke laluan tadi dan melangkah meninggalkan hutan. Sepanjang perjalanan Nasaruddin berasa tidak selesa. Sesekali dia menoleh ke belakang. Seperti ada sesuatu yang mengekorinya di belakang!

Pergerakan kuda menjadi lebih perlahan kerana menanggong berat tuannya dan seekor anak rusa. Berulang kali Nasaruddin menoleh ke belakang tetapi tidak ada apa-apa yang kelihatan. Akhirnya mereka sampai ke tepi hutan. Sekali lagi Nasaruddin menoleh. “Oh! Ini yang mengekori saya sejak tadi?”

Seekor ibu rusa rupa-rupanya mengekori Nasaruddin. Nasaruddin memerhatikan wajah ibu rusa itu. Seolah-olah menagih simpati darinya. “Mungkinkah anak rusa comel ini anaknya?”
Tangan Nasaruddin mengusap-ngusap lembut badan anak rusa comel di hadapannya sambil memandang ke arah ibu rusa yang turut memerhatikan perbuatannya.

Akhirnya Nasaruddin menurunkan anak rusa comel ke tanah. Sebaik sahaja diturunkan, ia segera melompat-lompat mendapatkan ibunya. Nasaruddin memerhatikannya dengan wajah gembira bercampur haru. Ibu rusa asyik menjilat-jilat anaknya dan seketika ia memandang ke arah Nasaruddin lalu melompat-lompat dengan girang ke dalam hutan.
(Petikan dari buku Kisah Burung Pipit)

Wednesday, May 07, 2008

Musim peperiksaan menjelang tiba

"Belajar rajin-rajin. Peperiksaan makin hampir!" pesan Mak Su.
Tiba-tiba Amin mendekati Mak Su yang sedang berbual dengan Makcik Sarimah. "Ada hadiah sekiranya keputusan peperiksaan kami cemerlang?"
Serentak itu Mak Su tergelak manakala Makcik Sarimah menjengilkan biji matanya. "Amin, elokkah bertanya begitu kepada Mak Su. Bukankah apa yang kamu belajar itu untuk masa depan kamu juga?"
"Biarkanlah dia. Baiklah. Sekiranya kamu berdua mendapat keputusan yang cemerlang, Mak Su belikan hadiah!"
Bersoraklah Amin apabila mendengar janji Mak Su itu.
"Bagaimana pula dengan saya?" tanya Sarah tersengih-sengih.
"Kamu jugalah!"
Kali ini sorakkan lebih gamat lagi. Kedua-dua beradik bersorak sehingga terlupa suara mereka didengari sehingga ke rumah jiran. "Kalau ya pun seronok, janganlah sampai begitu sekali riuhnya!" tegur Pakcik Jamal sebaik sahaja meninjau ke halaman.
Hmm... sudah mula ulangkaji?

Sunday, March 23, 2008

Siapa pelihara kucing?

Meow...Meow...meow... Bunyi rintihan sayu kucing peliharaan itu sungguh menyedihkan sesiapa sahaja yang mendengarnya. Badannya sungguh kurus sehingga kelihatan tulang rangkanya. Ketika itu, hari semakin gelap. Kucing yang kurus kering itu mengiau lemah di tepi pintu menahan sejuk yang mencengkam sehingga ke tulang. Siang tadi ia dipukul teruk oleh tuannya, seorang perempuan tua yang bengis dan garang.
“Jangan kamu berbunyi lagi. Tidur sahaja di situ!” jerit perempuan tua ketika menjenguk ke pintu sambil di tangannya memegang sebatang kayu panjang yang selalu digunakan setiap kali memukul kucingnya.
Kucing malang itu segera terdiam apabila dibentak dan ditunjukkan kayu panjang yang siang tadi dirasai pukulannya.
“Bagus! Sekarang kamu faham!”
Pintu rumah ditutup semula dengan kuat dan tinggallah kucing malang kesejukkan di luar rumah tanpa berani mengiau lagi. Ia merengkok menahan sejuk dan memejamkan matanya. Seorang jiran memerhatikan keadaan kucing malang itu hampir setiap hari tidak lagi sanggup membiarkannya terus menjadi mangsa tuannya melepaskan geram. Jiran yang baik hati itu mendekati rumah perempuan tua dan mengambil kucing malang lalu dibawa pulang ke rumahnya. Meow...Meow...meow... Berbunyi kucing malang sebaik sahaja berada di dalam pelukan jirannya.
Dia segera ke dapur dan menghidangkan semangkuk susu untuk tetamunya. “Minumlah!” katanya sambil mengusap-usap belakang kucing malang yang kurus kering itu. Sekejap sahaja licinlah mangkuk yang penuh berisi susu dijilat oleh kucing malang. Ia merengkok kembali di tepi badan jiran yang baik hati itu lalu tertidur. “Saya sungguh kasihan melihat kamu dipukul setiap hari tetapi apa daya saya untuk menahan perbuatan tuan kamu yang kejam itu.”
Keesokkan harinya, perempuan tua itu terkejut apabila kucingnya tiada di depan pintu. “Siapakah yang mencuri kucing saya?” Perempuan tua itu menjerit-jerit menuduh jiran-jiran yang lalu lalang di hadapan rumahnya sebagai pencuri. “Kamu curi kucing saya!”
Jiran yang baik hati tiada pilihan selain menyerahkan kembali kucing malang ke tangan tuannya. Sebelum menyerahkan semula dia meminta perempuan tua itu berjanji, “Berjanjilah! Awak tidak akan memukulnya lagi!”
Perempuan tua itu terpaksa bersetuju dengan syarat jirannya. Dia berbuat begitu supaya kucingnya dipulangkan. Sebaik sahaja kucing itu diserahkan kepadanya, dia segera masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu.
Sebentar kemudian kedengaran bunyi kucing mengiau dengan kuat diikuti dengan bunyi pukulan. Selang beberapa hari, tiada kedengaran lagi bunyi mengiau kucing dari rumah perempuan tua itu. Jiran yang baik hati tidak senang duduk dan sering tertanya-tanya apakah nasib kucing malang. Apakah yang terjadi kepada kucing itu?
Rupa-rupanya kucing malang mati akibat dipukul teruk oleh tuannya. Perbuatan kejam perempuan tua itu mendapat murka Allah swt sehingga tidak diampunkan dosa-dosanya.

Monday, March 17, 2008

Lipat ganda



Ada kalanya kita merasakan sudah melakukan yang terbaik. Berusaha semaksimumnya namun hasil yang diperolehi tidak sebagaimana yang dihajatkan. Adakah memang kita tergolong dalam golongan yang lemah dan gagal?

Jika diimbas ketika kita belajar bertatih, tidak ada orang yang tidak pernah terjatuh ketika belajar bertatih. Malah berpuluh-puluh kali jatuhnya tetapi berpuluh-puluh kali jugalah kita berusaha bangkit dan bangun semula walau pun bercucuran air mata dan ada kalanya kita menjerit kerana geram. Tetapi erti putus asa tidak pernah ada dalam kamus hidup kita.

Pandang ke hadapan dan teruskan langkah. Mungkin orang lain sekali baca sudah faham apa yang dibaca tetapi mungkin tidak bagi kita. Perlukah kita kecewa? Tentu tidak, bukan. Setiap orang dilahirkan dengan kemampuan yang berbeza-beza. Apa yang perlu kita lakukan ialah lipat gandakan usaha. Baca dan fahamkan berulangkali tanpa jemu dan sentiasa berbaik sangka kepada Allah.

'Seseorang itu memperolehi apa yang diusahakannya.' Itu janji Allah dan kita tidak perlu bimbang tentangnya. Teruskan langkah dan lipat gandakan usaha.


Tuesday, March 11, 2008

Bangun

Sebagai seorang pelajar tentulah ujian dan peperiksaan merupakan sesuatu yang menyusahkan. Alangkah seronoknya belajar tanpa semua itu. Namun itulah kayu ukurnya. Di situlah dapat dilihat sejauh mana pencapaian kita kepada apa yang dipelajari selama tempoh tertentu.

Tetapi gagalnya seseorang dalam mengharungi sesuatu ujian bukan bermakna dia tidak bijak dan akan terus gagal selama-lamanya. Berjayanya seseorang pula bukan melambangkan dia serba tahu dan boleh terus mendabik dada sebagai seorang juara.

Kenal pasti potensi diri yang ada dalam diri kita. Terokai ia. Usah takut kepada perkataan gagal. Orang yang berani ialah orang yang tidak gentar kepada kegagalan. Dia akan bangun setiap kali terjatuh. Di situlah dia terus belajar erti hidup yang sebenarnya. Berusaha dan bermohon kepada Yang Maha Perancang.

Masih ingat ketika kecil-kecil dulu sewaktu kita belajar bertatih? Kita kerap terjatuh. Kita menangis tetapi di masa yang sama kita berusaha bangun semula dan bertatih lagi. Kita tidak pernah serik, bukan?

Sunday, March 09, 2008

Cuti-cuti dalam Sarah dan Anting-anting!


Selama seminggu ini pelajar-pelajar di sekolah rendah dan menengah bercuti. Ada yang balik kampung menjenguk datuk dan nenek, ada yang pergi melancung dan ada juga yang menghabiskan sepanjang cuti ini di rumah. Bagi pelajar-pelajar yang akan menghadapi peperiksaan pula sudah tentu memanfaatkan waktu cuti ini dengan mengulangkaji.

Apa yang penting waktu tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja. Banyak aktiviti yang boleh dirancang. Samada aktiviti sendirian atau berkumpulan.

Bagaimana agaknya Sarah mengisi cutinya kali ini? Apa aktiviti Sarah dan adiknya?
Semuanya di dalam Sarah dan Anting-anting!

Wednesday, February 13, 2008

Berikan bahagian mereka

Seorang perempuan berjalan lemah di jalanan mencari sesuatu bagi mengembalikan tenaganya untuk meneruskan perjalanan. Dia merayau-rayau sehingga tiba di hadapan sebuah rumah. Rumah itu milik Al Laits. Pintu rumah itu terbuka luas dan berdiri di hadapannya dua orang lelaki. Perempuan itu menghampiri dengan lemah, “Berikanlah saya sesudu madu lebah supaya saya kembali bertenaga.”

“Hanya sesudu madu lebah yang kamu perlukan?” tanya Al Laits kembali.
“Ya. Memadailah dengan sesudu madu lebah!”

Al Laits berbisik kepada pembantunya, “Berikan perempuan itu setin madu lebah.”
Pembantu Al Laits menghilang dari muka pintu dan kembali semula dengan satu tin madu lebah sepertimana yang disuruh oleh tuannya dan menyerahkannya kepada perempuan itu sehingga perempuan itu berubah wajah kerana terkejut dengan jumlah madu yang diberikan kepadanya. “Oh!...saya hanya memerlukan sesudu madu sahaja. Pemberian ini melebihi apa yang saya perlukan.”

“Ambillah. Ini ialah pemberian dari tuan saya.”

Perempuan itu mengucapkan terima kasih berulang kali lalu meningalkan rumah Al Laits sambil membawa setin madu lebah di tangannya. Pembantu rumah kemudian menemui Al Laits. “Perempuan itu terkejut kerana tuan memberikan melebihi dari apa yang dimintanya.”

“Perempuan itu meminta sekadar keperluannya manakala kita pula memberi kepadanya sekadar nikmat yang menjadi tanggongan kita.”

Siapakah Al Laits? Al Laits terkenal sebagai seorang yang kaya dan sifat pemurahnya kepada fakir miskin. Dia tidak akan bercakap setiap hari sebelum bersedekah kepada tiga ratus enam puluh orang miskin.

“Semua yang saya miliki ini ada bahagiannya untuk mereka.”

Sunday, February 03, 2008

Al Fatihah








petikan dari http://universitipts.com/

Al-Fatihah Buat Buah Hati Sifu
Saya menerima panggilan telefon yang menyampaikan berita duka ini semasa berada di Kamunting, Perak atas urusan pertunangan En. Izwan Arif, pegawai di Jabatan Grafik PTS dengan Cik Faraliza Zainal Abidin, pegawai di Jabatan Kewangan PTS. Maka saya tidak dapat menziarahi jenazah beliau.
Besok, Isnin 4hb, insyaAllah saya bersama En. Zaharin Zain, Pengurus Jabatan Jualan dan Khidmat Pelanggan PTS, Puan Norhazizam, Pengurus Pemasaran PTS, dan Prof. Abdullah Hassan, Penasihat PTS, akan menziarahi ibunya.
Allahyarham Ahmad Zafran Abd. Mutalib, lebih dikenali dengan nama penanya "Panaharjuna" adalah mentee buah hati saya, yang sangat saya kasihi.
Beliau memang menghidap penyakit jantung dan selalu kurang sihat.
Beliau berhenti kerja supaya dapat tinggal bersama ibunya dan menjaga ibunya. Dengan itu beliau mengambil keputusan menjadi penulis sepenuh masa.
Sangat besar jasanya kepada PTS kerana beliau banyak memperkenalkan penulis dan pelukis yang berbakat kepada PTS. Walau ke mana beliau pergi, beliau sentiasa membawa bendera PTS dan sentiasa menyebut yang baik-baik tentang PTS sehingga nama PTS menjadi wangi di kalangan penulis dan pekomik seangkatannya.
Allahyarham tidak mendirikan rumahtangga disebabkan beliau menyedari keadaan kesihatan beliau itu, begitulah yang beliau pernah beritahu saya.
Buah hati saya ini seorang yang baik agamanya, sentiasa mendirikan sembahyang waktunya.
Beliau telah pergi meninggalkan kita, sedangkan kita akan menyusul beliau kemudian.

Saturday, February 02, 2008

Indahnya...

“Ada apa-apakah yang awak ingin makan? Katakanlah!” tanya Ali kepada Fatimah apabila dilihatnya Fatimah masih lesu setelah beberapa hari mengidap demam.

“Saya teringin makan buah delima!”

Seketika Ali termenung berfikir. Dia tiada wang untuk membeli buah delima. Lalu dia bangun dan keluar dari rumah menuju ke pasar.

“Pinjamkan saya wang untuk membeli sebiji delima kepada isteri saya yang baru sembuh dari demam,” pinta Ali kepada seorang kawannya.

Sebaik sahaja dapat meminjam wang, Ali segera ke gerai dan membeli sebiji delima. Sambil memegang sebiji delima di tangannya, dia berjalan pulang. Di dalam perjalanan dia terpandang seorang lelaki terbaring di tepi jalan. Timbul rasa simpati di hati Ali lalu mendekatinya. “Apakah yang saya boleh bantu?”

“Selama lima hari saya terbaring di sini, tiada siapa yang ambil peduli kecuali tuan. Saya hanya menginginkan sebiji delima buat mengubat sakit saya ini?”

Sejenak Ali termenung. Dia hanya ada sebiji delima sahaja. Lalu dia teringat akan ayat-ayat al Quran yang pernah dibacanya. “Terhadap orang yang meminta-minta, janganlah engkau hampakan.”

Ali mendekati kembali lelaki yang terbaring itu lalu dia membelah buah delima di tangannya dan memberikan kepada lelaki yang sedang sakit itu. Lelaki itu tersenyum lebar sebaik sahaja Ali menghulurkan buah delima kepadanya. Sebaik sahaja selesai memakan buah delima yang diberikan oleh Ali, dengan izin Allah lelaki itu sembuh seperti sedia kala.

“Bagaimana saya akan berhadapan dengan Fatimah tanpa membawa pulang buah delima yang diingininya?” Ali masuk ke dalam rumah dengan wajah yang muram.

Fatimah memerhatikannya. “Mengapa bermuram begitu? Janganlah susah hati. Saya sudah tidak berselera lagi makan buah delima.”

Tersenyum lebar Ali mendengar kata-kata Fatimah. Semasa mereka berbual-bual, pintu rumah diketuk orang. Ali membuka pintu dan mendapati Salman di hadapan rumahnya membawa sebuah dulang yang bertutup dengan sehelai kain di atasnya.

“Terimalah! Ini rezeki daripada Allah untuk tuan.”

Ali menerima dulang yang dihulurkan oleh Salman dan membuka kain penutupnya. Di dalam dulang itu ada sembilan biji delima. Ali menoleh kepada Salman, “Jika benar rezeki ini daripada Allah untuk saya, tentu jumlahnya sepuluh!”

“Mengapa tuan berkata begitu?”

“Sebab, Allah pernah berkata, sesiapa yang berbuat kebaikan, Allah membalasnya dengan sepluh kali ganda!”

Ketawalah Salman mendengar jawapan Ali lalu mengeluarkan sebiji lagi buah delima dari poketnya, “Sebenarnya, jumlah buah delima itu sepuluh biji. Saya hanya ingin mengusik tuan sahaja.”

Wednesday, January 09, 2008

Maal Hijrah

Cadangnya kami sekeluarga meraikan Maal Hijrah di Masjid Kolej Universiti Islam Selangor, masjid terdekat dengan rumah kami. Tengah harinya pula suami menelefon mencadangkan kami sekeluarga meraikannya di rumah sahaja tahun ini. Terasa kali ini kami perlu fokus melihat Hijrah dari sudut pandang kami sekeluarga. Apa yang sudah kami lalui sepanjang hidup sehingga ke gerbang perkahwinan. Bersama menerajui alam rumahtangga bersama mendidik anak-anak. Menyemak kembali hala tuju hidup di samping memberi ruang kepada anak-anak yang meningkat dewasa meluahkan apa-apa sahaja hasrat yang tidak kesampaian sepanjang tahun ini.
Alhamdulillah, sebagaimana dirancang kami sekeluarga dapat berkumpul tepat pukul 7 petang. Saya hanya sempat menyediakan pencuci mulut- puding berkuah dan kek lapis Serawak (ini dibuat sehari sebelumnya). Suami pula membawa pulang satay kajang dan burger.

Kami berkumpul dan mendengar tazkirah ringkas daripada ketua keluarga; merenung kembali apa yang sudah dicapai dan apa lagi yang belum. Semoga setiap amal yang lalu dicatat sebagai amal soleh, memohon ampun kepada Allah di atas segala sikap alpa selama ini dan seterusnya bermohon semoga Allah memberi kelapangan bagi mencapai cita-cita kami bersama rahmat dan kasihNya. Walaupun bidang kami berbeza namun halatuju hidup tetap sama. Sama-sama menuju kepada keredhaan Allah SWT.
Sebelum menjamah hidangan, kami sekeluarga menadah tangan berdoa Doa Akhir Tahun;

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyanyang. Segala puji itu bagi Allah, Tuhan Pentadbir seluruh alam. Semoga Allah cucurkan rahmat dan sejahtera atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW serta keluarga dan sahabat baginda sekalian.

Ya Allah, wahai Tuhan kami, bagi setiap perkara yang kami lakukan daripada setiap perbuatan yang Engkau larang dalam tahun ini yang kami belum bertaubat daripadanya padahal Engkau tidak meredhai dan Engkau memang tiada lupakannya namun Engkau berlembut tidak mengazabkan kami malah memberi peluang supaya kami bertaubat selepas kami menceburkan diri melakukan maksiat itu. Maka kami sekalian memohon keampunanMu.

Ya Allah, ampunilah kami dan mana-mana perbuatan yang kami lakukan sepanjang tahun ini yang Engkau redhai dan yang Engkau janjikan ganjaran pahalanya. Maka kami mohon diperkenankan amal bakti yang kami lakukan itu dan Engkau tidak menghampakan harapan kami. Ya Allah Tuhan yang Maha Pemurah.

Amiin... Seketika kami melayan sebak di hati. Lalu menjamah hidangan sambil mula merangka perancangan bagi setahun yang akan ditempuhi. Seusai solat magrib, sekali lagi kami berdoa, Doa Awal Tahun pula;
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Penyayang. Segala pujian itu bagi Allah Tuhan sekalian alam. Rahmat dan Sejahtera atas PEnghulu kami Nabi Muhammad, keluarga dan sahabat-sahabat bagindan sekalian.

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang kekal selama-lamanya, sedia ada, tiada permulaan. KelebihanMu Maha Besar dan kemurahanMu sangat-sangat diharapkan. Tibalah sudah tahun baru, kami mohon kepadaMu agar terpelihara kami sekalian di tahun baru ini daripada tipu daya syaitan-syaitan yang terlaknat juga daripada kuncu-kuncu syaitan dan bala tenteranya. Kami mohon daripadaMu, pertolongan mengalahkan runtunan nafsu amarah (nafsu yang mendorong kepada kejahatan. Kami mohon juga kepadaMu Ya Allah, rasa ingin membuat amal kebajikan) yang boleh mendampingkan diri kami kepadaMu. Ya Allah Tuhan Yang Maha Agung lagi Mulia. Ya Allah Tuhan yang sebaik-baik yang mengurniakan rahmat. Amiin...

Sunday, January 06, 2008

Hanya kerana sebiji epal

"Indah sungguh suasana di tepi sungai ini. Airnya mengalir tenang dan anginnya bertiup lembut," bisik Abu Salleh sendirian di tepi sungai.
Sungai itu terletak di sebuah pekan kecil bernama Jilan. Di situlah tempat tinggal Abu Salleh. Dia berasal dari keturunan Imam Hassan, salah seorang cucu Nabi Muhammad.

Ketika dia sedang berzikir, terpandang olehnya sebiji epal hanyut di tebing sungai. Perutnya yang memang belum diisi sejak awal pagi berbunyi beberapa kali. "Mungin ini rezeki untuk saya." Abu Salleh memakan epal itu sehingga habis. Tiba-tiba dia berdiri dengan wajah berkerut. "Aku makan epal ini tanpa izin tuannya. Tentu pemilik epal ini berada di hulu sungai."
Abu Salleh berjalan menyusur tebing sungai menghala ke hulu sambil memerhati kesekeliling kalau-kalau ada pokok epal di situ. Jauh dia berjalan meninggalkan pekan Jilan. Dia terus berjalan sehingga akhirnya dia menemui sebuah ladang epal.

"Syukurlah akhirnya aku menemui ladang epal. Tentu epal yang aku makan tadi datang dari ladang ini." Abu Salleh terus memasuki ladang epal itu dan menemui pemiliknya,Sheikh Abdullah. Beliau berasal dari keturunan Imam Hussin, salah seorang cucu Nabi Muhammad juga. Beliau ialah seorang yang kuat beribadat dan disegani oleh penduduk di kawasan itu. "Saya memohon maaf dan mohon dihalalkan sebiji epal yang saya makan."

Sheikh Abdullah memerhatikan Abu Salleh untuk beberapa ketika lalu tersenyum. Dia menarik nafas panjang. "Saya boleh memaafkan saudara dengan satu syarat."
"Katakanlah apakah syarat itu? Saya akan memenuhinya."
"Saya mahu saudara bekerja di ladang epal ini selama dua belas tahun!"
Tanpa banyak soal, Abu Salleh mengangguk dan menyatakan persetujuannya. Bekerjalah Abu Salleh di ladang epal milik Sheikh Abdullah itu selama dua belas tahun dengan penuh amanah dan tanggong jawab. Sheikh Abdullah memerhatikan tingkah laku Abu Salleh sepanjang tempoh itu dan mula tertarik hati. Dia bercadang untuk mengahwinkan puterinya dengan Abu Salleh.
Akhirnya tamatlah tempoh dua belas tahun lalu Abu Salleh menemui Sheikh Abdullah. "Saya sudah menunaikan syarat tuan. Halalkanlah epal yang saya makan itu."

Sheikh Abdullah terpegun dengan kata-kata Abu Salleh yang jelas menggambarkan dia adalah seorang anak muda yang jujur. "Saya akan mengenakan satu lagi syarat ke atas saudara."
"Katakanlah syarat itu, saya akan tunaikan."
"Syaratnya ialah, saudara mesti mengahwini puteri saya. Tetapi biarlah saya berterus terang tentang keadaan puteri saya itu."
"Katakanlah! Saya akan mematuhinya."
"Puteri saya bernama Ummu Khair Fatimah. Dia seorang yang lumpuh, pekak, buta dan bisu. Mahukah saudara mengahwini puteri saya itu sebagai syarat kedua untuk saya memaafkan saudara?"
Sejenak Abu Salleh termenung membuatkan Sheikh Abdullah berdebar-debar. Akhirnya Abu Salleh memandang ke arah Sheikh Abdullah, "Saya akan mengahwini puteri tuan sekiranya tuan menghalalkan sebiji epal yang saya makan tanpa izin dua belas tahun yang lalu."
"Baiklah. Saya akan menghalalkan sebiji epal yang saudara makan itu sekiranya saudara mengahwini puteri saya."

Maka berlangsunglah satu majlis perkahwinan di antara Abu Salleh dan Ummu Khair Fatimah. Pada malam perkahwinan itu, Abu Salleh masuk ke bilik pengantin dan memberi salam kepada isterinya. Sebaik sahaja isterinya menoleh ke arahnya, wajah Abu Salleh berubah kerana dia amat terkejut lalu berlari ke ruang tamu menemui bapa mertuanya, Sheikh Abdullah.

"Adakah seorang perempuan lain di dalam bilik pengantin? Di manakah isteri saya yang lumpuh, buta, pekak dan bisu itu?"
Sheikh Abdullah tersenyum mendengar pertanyaan Abu Salleh. "Perempuan yang berada di dalam bilik pengantin itu ialah puteri saya, Ummu Khair Fatimah. Saya mengatakan dia lumpuh kerana kakinya tidak pernah menjejak ke tempat maksiat. Saya mengatakan dia pekak kerana dia tidak pernah mendengar perkara yang terlarang. Saya katakan dia buta kerana dia tidak pernah melihat perkara yang haram dan saya mengatakan dia bisu kerana dia tidak pernah menuturkan sesuatu yang sia-sia."

Tersenyumlah Abu Salleh sebaik sahaja Sheikh Abdullah menghabiskan kata-katanya lalu dia menadah tangan, "Ya Allah! Hambamu mengucapkan syukur yang tidak terhingga!"
Hasil perkawinan Abu Salleh dan Ummu Khair Fatimah ini lahirlah seorang ahli agama yang terkenal diberi nama Sheikh Abdul Kadir Jailani. Beliau digelar Mahyuddin yang bermaksud, Yang menghidupkan Agama!

Thursday, January 03, 2008

Dari seberang

Harian Republika, Jumat, 04 Januari 2008www.republika. co.id
Tokoh Perubahan 2007: The Sound of Moral

"First and foremost, we should be governed by common sense. Butcommon sense should be based on moral principles first. And it is notpossible today to have morality separated from religious values."Vladimir Vladimirovich Putin.

Itulah suara terdalam dari seorang Putin, presiden Rusia. Seorangagen dinas rahasia KGB di masa Soviet yang komunis. Putin dinilaiberhasil membawa negerinya untuk bangkit kembali sehingga majalah Timemenobatkannya sebagai Person of the Year tahun 2007. Bagi Putin,nilai-nilai religius merupakan pijakan moral yang utama dalammemerintah. Globalisasi memang bukan sekadar memungkinkan menyatukanwarna dunia dalam seketika, tapi juga mambangkitkan identitas agar taktergerus. Dan religi adalah the ultimate values yang paling kukuhuntuk menjadi pilar. Itulah pilihan terbaik untuk tetap "menoleh kekanan". Indonesia akan mampu bangkit dari keterpurukannya jikamasyarakatnya berpegang pada nilai-nilai religi yang berakar kuat dimasyarakatnya.

Seperti dua tahun belakangan ini, pada hari ulang tahunnya, 4Januari, Republika mengumumkan pemenang anugerah Tokoh Perubahan 2007.Kali ini adalah untuk yang ketiga. Mereka bagai angin semilir. Damaidan menyejukkan. Pelan namun menyibakkan. Itulah ciri Tokoh Perubahan2007 pilihan Republika tahun ini. Mereka adalah Maftuh Basyuni, DeddyMizwar, Habiburrahman El Shirazy, Andrea Hirata, Yusuf Mansyur, danRatna Megawangi.Pada 2005, Republika memilih delapan tokoh yang menebarkan energipositif dan optimisme. Pada 2006, anugerah diberikan kepada tujuhtokoh yang menunjukkan pribadi pekerja keras. Kali ini, Republika memilih enam tokoh penyuara moralitas dalam memandu masyarakat.Merekalah pelantun the sound of moral.Maftuh Basyuni adalah khas sosok pesisir utara Jawa: lugas danberani. Membenahi Departemen Agama adalah tekadnya yang sangat kuat.Kemudahan, penghematan, pelayanan, dan membasmi praktik korupsi,percaloan, maupun mengail di air keruh dari 200-an ribu jamaah haji adalah upaya perbaikan yang terus-menerus ia lakukan. Adakalanya iaterpeleset seperti pada musim haji tahun lalu. Upayanya membenahilayanan katering haji mendapat perlawanan keras, bahkan sabotase daripihak-pihak berkuasa di Arab Saudi.Maftuh juga berbenah di bidang lain yang menjadi urusandepartemennya seperti masalah pendidikan, birokrasi, dan pengelolaananggaran maupun aset Depag. Ia tak banyak bicara dan lebih banyakbekerja, tanpa mengenal kompromi. Perlahan citra dan kinerja Depag punmembaik.

Untuk kali pertama, Tokoh Perubahan didominasi seniman, yaituDeddy, Habib, dan Andrea. Deddy bisa menghadirkan visinya yang kokohdi tengah terpaan produk sinetron dan film layar lebar yang dipenuhiroman picisan, pornografi, dan horor. Walau karyanya dipenuhi denganidealisme namun ia bukan karya apik yang sunyi dari tepuk tangan.Terbukti dari rating yang tinggi dan iklan yang penuh serta tiketyang laku keras dan masa tayang yang lama di bioskop papan atas.Karyanya juga mendapat berbagai penghargaan di berbagai festival. Halitulah yang membedakan Deddy dengan sineas lain yang juga sama-samaberdiri di garda depan produk bermutu. Bukan hendak mengecilkan yanglain, namun Deddy bisa membuktikan kualitas kreativitasnya yang tetapbergemuruh.Karya Deddy tak melulu pada kualitas teknis perfilman. Ia juga menukik pada isinya itu sendiri.

Bukankah pembeda utama antara senicerita dengan seni lainnya adalah ceritanya itu sendiri? Bukankah berkesenian ditujukan untuk masyarakat dan bukan untuk para seniman sendiri? Bukankah berkesenian bukan sekadar menghibur tapi juga untuk pencerahan jiwa? Bukankah seniman juga butuh uang untuk hidup dan berkarya lagi? Semua dijawab tuntas oleh Deddy lewat Lorong Waktu,Kiamat Sudah Dekat, Para Pencari Tuhan, dan Naga Bonar Jadi 2.

Ada ungkapan penghibur bahwa karya yang baik tak selalu karya yangpaling banyak digemari. Itu memang betul. Tapi, alangkah eloknya jikaselain karya itu baik tapi juga digemari. Itulah yang terjadi pada Habib atau akrab disapa Kang Abik. Novelnya, Ayat-ayat Cinta, memangmeniti di atas cerita kisah cinta seorang mahasiswa. Sebuah model yangklise. Namun caranya bercerita, munculnya kejutan di setiap babak, bingkaimultikultural dan multikeyakinan para tokoh utama yang terlibat, dankeindahan cinta tanpa syahwat merupakan eksotisme novelnya. Bahkan,dari segi bingkai multikultural dan multikeyakinan, Ayat-ayat Cinta masih lebih kuat dibandingkan dengan karya klasik Buya Hamka, Di BawahLindungan Ka'bah. Ya, Hamka baru telah lahir dalam sastra Islami. Disana ada tawa, kerinduan, juga tangis. Tentu yang lebih utama,sebagaimana ditulis dalam sampulnya, inilah novel pembangun jiwa.Novel yang mampu menggugah dan menginspirasi para pembacanya untukmenjadi pribadi-pribadi yang baik.

Andrea Hirata tetap berkukuh bahwa dia bukanlah novelis. Bukan pula sastrawan. Bukan juga pembaca sastra yang baik. Apa yang ia tulis ia akui sebagai sebuah buku tentang pendidikan. Kesahajaan itulah yangmembuat novelnya begitu otentik dan menyegarkan. Ia seakan makhlukbaru dalam dunia sastra Indonesia. Andrea memang orang yang munculdari dunia antah berantah dalam jagad sastra Indonesia. Justru karena itu bahasa dan ungkapannya begitu asli. Ia tak mewarisi dan tak terpengaruh siapa-siapa. Padahal novelnya, Laskar Pelangi, ia tulishanya dalam tiga pekan. Bukankah ia seorang penulis yang luar biasa? Sebagai seorang karyawan PT Telkom tentu ia sangat sibuk. Namun,kecintaan dan dorongannya untuk memberikan hadiah pada ibu gurunyayang sedang terbaring sakit membuatnya teramuk menulis. Apa yang iatulis adalah kisah nyata dan pengalaman pribadinya besertateman-temannya yang tergabung dalam persahabatan Laskar Pelangi saatmereka di SD. Apa yang ia tulis adalah wajah nyata Indonesia tentangkemiskinan dan berbagai akibatnya, apalagi di wilayah terpencil diBelitung. Namun, berbagai keterbatasan itu bukanlah pintu mati jika disana ada seorang guru yang menghayati dan mencintai profesinya.Tunas-tunas muda itu begitu keranjingan untuk belajar dan menyerapilmu. Seperti kata Andrea, Laskar Pelangi memang bukan [sekadar]novel, dia adalah mata air di padang makna.

Di tengah gejala hedonisme, individualisme, pamer kekayaan, danpenderitaan akibat rentetan musibah dan krisis ekonomi berkepanjangan,Ustadz Yusuf Mansyur menyeru tentang "kenikmatan dan keuntungan"bersedekah. Ia pun mengeluarkan rumus matematika sedekah. Setiappengeluaran akan ada pemasukan yang berlipat. Ia menyerukansolidaritas sosial.Akhirnya, Ratna Megawangi. Dosen IPB yang lebih banyak dikenal lewattulisan-tulisannya soal kesetaraan gender dari perspektif Islammerupakan pribadi yang telah enam tahun bergelut mengembangkanpendidikan yang bertumpu pada pembentukan karakter. Ia berjuang tanpaberisik. Bersama-sama para mantan mahasiswanya, kini ia telahmendirikan lebih dari 100 sekolah taman kanak-kanak di berbagaidaerah. Melalui jalan sunyi, ia berharap Indonesia bisa menuainyaketika anak didiknya besar kelak. nasihin masha

Terima kasih buat teman yang menghantar artikel ini.

Tuesday, January 01, 2008

Jus!

Segar-segarkan diri dengan menyediakan jus sayuran yang senang dicapai. Bayam? Kobis? Karot? Kangkong? Mentimun? Semuanya boleh dibuat jus!

Mentimun atau timun sahaja kaya dengan mineral, protin, lemak, serat dan kabohidrat. Ia juga mengandungi kalsium, fosforus, besi dan vitamin C dan mempunyai kandungan alkali serta asid.

Kami lebihkan sebahagian tanam-tanaman itu atas sebahagian yang lain tentang rasanya. Sesungguhnya pada yang demikian terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir, 13:4

Sungguh hebat bukan? Kemampuan timun ialah merawat gastrik, ulser dan kekerapan membuang air kecil. Penyediaannya? Mudah sahaja. Kupas kulitnya dan bersihkan. Kisar bersama air masak dan sedikit gula. Masukkan beberapa ketul ais jika suka.

Jika durian dikenali sebagai raja buah-buahan, petai pula terkenal sebagai raja ulam-ulaman, siapa pula raja sayuran? Bayam! Ia mengandungi segala zat yang diperlukan oleh seorang manusia mengekalkan tahap kesihatannya. Kemampuan melindungi badan kita daripada pelbagai jenis penyakit. Merawat lesu, letih tidak bermaya, anemia dan kerap demam. Juga merawat kulit muka, rambut, kepala, sakit gusi dan sembelit. Selain goreng atau sup elok juga tukar-tukar cara memasaknya.

Penyediaan jus bayam cukup mudah! Bersihkan bayam. Kisar bersama air masak. Tapis dan campurkan sedikit madu. Campur ais jika suka.

Selamat mencuba!

Dialah Allah yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu, 2:29

Tuesday, December 25, 2007

Restu

Tengku Diana segera ke dapur membancuh teh panas. Dia meletakkannya di meja kecil di samping Mohd Rasul yang tersandar memejamkan mata. Tengku Diana memerhati dan mula meneka-neka kerana soalannya tadi belum dijawab.
“Minumlah air ini.”
Mohd Rasul membuka matanya. Dihirupnya teh panas perlahan-lahan lalu diletakkannya kembali. “Nampaknya keparahan ekonomi berpanjangan dan memberi kesan kepada sekolah!”
“Mengapa abang pulang kerja awal hari ini?”
“Ke mana anak-anak kita?”
“Uwais ke padang. Sarah juga.”
“Mengapa dengan sekolah? Akan ditutupkah?”
Mohd Rasul mengangguk. “Terlalu banyak hutang yuran yang tertunggak. Ibu bapa juga ramai mengeluarkan anak-anak mereka kerana tidak mampu lagi membayar yuran persekolahan.”
Mengertilah Tengku Diana. “Apa rancangan abang sekarang?”
“Janganlah risau. Rezeki Allah di mana-mana. Pendatang asing datang ke Malaysia sehelai sepinggang boleh jadi kaya raya,” balas Mohd Rasul lalu menghabiskan baki air teh di cawannya. “Asalkan jangan memilih-milih!”
“Ya. Saya tahu abang tidak kisah langsung walau kerja itu sesuai atau tidak dengan jiwa abang.”
“Lagi pun anak-anak kita semakin dewasa dan memerlukan banyak perbelanjaan. Kena pandai melihat keutamaannya.”
“Saya tiada halangan. Mudah-mudahan Allah permudahkan segalanya untuk kita.”
“Minggu hadapan cuti sekolah. Elok kita balik kampung. Walaupun sudah ada keluarga sendiri, mereka tetap penting dalam hidup kita."
"Ya, kita mohon doa restu mereka."

Saturday, December 08, 2007

Didaktik dalam naskhah filem

Oleh: BAMBANG SM SAID
APABILA isu filem Melayu semakin mencuat jadi topik perbincangan, saya pun jadi terpanggil untuk menulis. Saya yakin, hampir semua penonton telah terdidik mindanya bahawa asas pembikinan sesebuah filem adalah skrip. Sama ada skrip dipenuhi dengan dialog sahaja, aksi sahaja atau kedua-duanya sekali, kita telah pun maklum skrip tetap asas pembikinan sesebuah filem.
Namun yang paling ketara penonton sering terpesona dengan watak yang melantunkan dialog yang bermakna. Sehingga begitu berbisanya sesuatu dialog, seringlah ia terngiang-ngiang di telinga, sampai bila- bila. Akhirnya watak yang melantunkan dialog tersebut pun menjadi idola.
Menurut Syd Field, dialog merupakan fungsi sesuatu watak. Dialog akan mudah membantu menghuraikan cerita jika anda memahami watak anda. Fungsi suatu dialog berhubung rapat dengan kehendak, harapan dan impian watak dalam sesebuah filem. Dialog hendaklah memberi maklumat atau fakta cerita kepada penonton. Dialog adalah personaliti watak.
Sedar atau tidak sejak kebelakangan ini, industri filem telah dibanjiri dengan filem-filem cinta dan komedi. Keghairahan pembikin filem semakin terserlah apabila pulangan dari filem-filem cinta dan komedi begitu lumayan. Mungkin kerana faktor masyarakat kita yang romantik maka terpanggil untuk menonton filem-filem cinta. Mungkin kerana sikap kita yang ramah dan suka berjenaka maka berduyun-duyun menonton filem komedi.
Kembali kepada persoalan skrip, sejarah perfileman telah banyak membuktikan dialog-dialog filem sering kali terbawa keluar ke dalam dunia nyata. Alasannya cukup mudah kerana dialog-dialog watak dalam filem-filem tersebut punya pesona tersendiri. Pesona yang biasanya menyentuh hati kita kerana dialog watak-wataknya yang mampu menghidupkan watak-wataknya. Sehingga kerana begitu hebat pesonanya, dialog-dialog tersebut menjadi retorik dalam komunikasi seharian. Lebih hebat lagi bila ia mampu menjadi falsafah dalam kehidupan.
Demikian betapa hebatnya kesan dialog daripada sesebuah filem. Ia mampu mendidik penonton untuk memperkayakan perbendaharaan kata dan menyuntik gaya bahasa para penonton. Inilah didaktik yang diharapkan daripada sesebuah skrip filem.
Tidak dapat dinafikan apabila menonton filem-filem cinta, jiwa kita akan tiba-tiba menjadi romantik dan tak mustahil menjadi cengeng. Sedar atau tidak, kita telah terbius dengan dialog dan aksi dalam filem tersebut. Kepada yang sedang bercinta dan yang tiba-tiba mahu bercinta akan cuba menghafal aksi dan dialog watak-watak yang bercinta di dalam filem. Bertuahlah kalau aksi-aksi dan dialog-dialog dalam filem tersebut memberikan sesuatu panduan yang positif dalam kehidupan nyata. Tapi bagaimana halnya kalau aksi dan dialog-dialog tersebut rupa-rupanya semakin merendahkan martabat kita sebagai bangsa Melayu. Bangsa Melayu yang beradab dan kaya dengan nilai etikanya yang tinggi.
Demikian juga dengan filem-filem komedi yang menyelitkan aksi dan dialog yang dianggap melucukan oleh penulis skrip, pengarah dan penerbit yang rupa-rupanya menjadikan penonton orang yang dungu. Saya bukan mahu memaksa pembaca bersetuju dengan pendapat saya. Tapi salahkah bila saya katakan skrip filem cinta yang baik adalah skrip yang mengandungi aksi yang manis etikanya dan dialog yang indah bahasanya?
Sehingga kita pun agak berubah menjadi orang yang romantik dengan sikap yang terpuji, bukan dengan aksi murahan dan dialog-dialog biru. Aksi-aksi dan dialog-dialog yang lucah. Akhirnya dunia percintaan pun musnah kerana nafsu serakah. Itu belum lagi skrip-skrip filem yang terlalu klise dan tidak realiti dalam kehidupan, sehingga tanpa disedari membuatkan kita menjadi orang sering hidup dengan angan-angan yang terlalu muluk dan menerawang. petikan http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera

Wednesday, December 05, 2007

Bacakan Saya Satu Cerita


Sebanyak 162 cerita baru untuk anak-anak yang sedang membesar. Karya sekumpulan penulis tempatan yang kreatif ini disertai illustrasi bewarna yang menarik. Buku berkulit tebal yang mesti dimiliki setiap keluarga.


Kerana sebakul limau...


“Masih ada masa sedikit lagi,” kata Ustaz Rosli.”Ada apa-apa soalan?”
“Ceritalah, ustaz!” pinta Borhan. “Lama ustaz tidak bercerita.”
“Ya!” sahut seisi kelas membuat Ustaz Rosli bertenggek di mejanya.
“Baiklah. Satu cerita sahaja!” kata Ustaz Rosli sambil melihat jam di tangannya.
Pelajar-pelajar mula membetulkan duduk mereka. Pelajar yang mengantuk kembali segar, yang sibuk kembali meluangkan masa. Waktu bercerita begini memang ditunggu-tunggu oleh mereka tetapi jarang berpeluang.
“Pada suatu hari datang seorang wanita bukan Islam menemui Nabi Muhammad. Dia membawa sebakul buah limau sebagai buah tangan ataupun hadiah. Nabi Muhammad menerimanya.”
“Sebakul? Air liur saya mula cair!” Lokman menyampuk dan mengelap mulutnya.
“Ketika itu Nabi Muhammad bersama sahabat-sahabatnya yang lain sedang berbual. Wanita itu pula masih memerhatikan Nabi Muhammad dan sebakul limau yang diberinya. Nabi Muhammad pun mengopeklah limau itu. Dia makan seulas daripadanya. Kemudian seulas lagi. Seulas lagi sehingga habis sebiji. Wajahnya penuh ceria sambil makan limau. Wanita itu masih di situ dan dia tersenyum gembira melihat Nabi Muhammad sudi makan pemberiannya.
“Lihat! Menitis air liur Lokman!” jerit Munir disambut gelak tawa satu kelas.
“Memang mengiurkan pun!” sampuk Ustaz. “Saya pun terliur walaupun saya yang bercerita! Itulah yang terjadi kepada sahabat-sahabat yang duduk di hadapan beliau. Habis sebiji, dikopeknya sebiji lagi. Seulas demi seulas dimakan sendirian dan begitulah seterusnya sehingga habis sebakul. Barulah wanita bukan Islam itu pergi.”
“Nabi Muhammad makan seorang diri sebakul limau itu?” tanya Lokman.
“Ya. Sebaik sahaja wanita itu pergi, Nabi Muhammad berkata kepada semua, beliau tahu tentu sahabat-sahabatnya tertanya-tanya mengapa beliau makan sendirian dan tidak pelawa makan bersama-sama.”
“Ya. Saya juga tertanya-tanya!” sampuk Borhan pula.
“Semua sahabat mengangguk. Nabi Muhammad menjelaskan bahawa kesemua limau yang dimakan itu masam-masam belaka dan dia tahu sahabat-sahabatnya tidak suka limau masam.”
“Mengapa Nabi Muhammad makan juga jika limau itu masam?” tanya Nora pula. “Saya pun tidak suka limau masam!”
“Sebabnya ialah Nabi Muhammad tidak mahu wanita itu kecewa apabila pemberiannya ditolak. Beliau tidak mahu sahabat-sahabatnya makan sebab apabila makan, wajah mereka akan berubah sebab mereka tidak suka. Itu boleh membuat hati wanita itu terguris.”
“Sampai begitu sekali Nabi Muhammad berfikir?” Munir mencelah lagi. “Sehingga sanggup habiskan sebakul limau sendirian?”
“Sebentar kemudian wanita bukan Islam itu datang semula. Sahabat-sahabat Nabi cemas kalau-kalau dia datang membawa limau masam lagi. Rupa-rupanya dia datang dengan satu hajat besar. Katanya dia sengaja hadiahkan limau masam itu kerana hendak lihat sendiri kebenaran apa yang dikatakan oleh semua orang bahawa Nabi Muhammad berakhlak mulia.”
“O...wanita itu hendak uji akhlak Nabi?” tanya Rozi pula.
“Begitulah. Hasilnya dia cukup gembira lalu menyatakan hasratnya memeluk agama Islam. Kali ini dia tidak datang sendirian. Bersama-sama ialah sekumpulan kaum keluarganya yang juga datang kerana hendak memeluk Islam.”
“Fuh! Hebat!” ucap Lokman.
“Akhlak mulia besar impaknya dan memberi nilai tambah yang cukup hebat dalam setiap urusan. Sebab itulah agama Islam sangat tekankan akhlak atau budi pekerti mulia ini.”
Pelajar-pelajar mengangguk mendengar kesimpulan yang diberi oleh guru mereka.
“Jika kamu diberi makanan yang kamu tidak suka, adakah kamu makan sebagaimana Nabi Muhammad makan kerana hendak menjaga hati orang yang memberi!”
Mereka saling berpandangan dan tersengih. Munir bersuara. “Jika sebiji limau mungkin saya sanggup makan tetapi sebakul....”
Belum habis dia berkata-kata seluruh kelas tergelak. Loceng berdering menamatkan cerita Ustaz Rosli tentang sebakul limau masam. “Fikir-fikirkanlah cerita tadi. Kisah Nabi dan sahabat-sahabatnya bukan kisah-kisah picisan yang sia-sia. Ambillah pengajarannya.”

Thursday, November 22, 2007

Hitam berkilat

“Alangkah indahnya bulu merak!” bisik gagak sendirian dari atas pokok sambil memerhatikan merak mengembangkan kepaknya yang beranika warna itu. “Mengapakah bulu merak begitu cantik?”
Gagak terus berfikir. Lama ia berfikir sendirian dan mencari jawapan. “Mungkin ia seorang pembersih dan selalu mandi. Sebab itulah bulunya berseri-seri!”
Gagak terbang ke sebatang sungai. Ia mandi sepuas hatinya. Berjam-jam ia mandi dan membersihkan badan dan bulunya. “Laparnya! Sudah seharian saya di sini!”
Gagak terbang mencari makanan. Ia makan ala kadar sahaja dan segera kembali ke sungai. Ia mandi dan membersihkan bulunya yang hitam itu. Semakin diberus bulunya semakin terserlah warna hitam bulunya itu. “Oh! Mengapa warna-warna cantik seperti merak belum juga keluar? Patutkah saya terus menggosok dan memberus bulu saya ini?”
Gagak tersandar di seketul batu dalam sungai itu. Ia kepenatan memberus dan menggosok bulunya. Tiba-tiba hinggap seekor gagak tua di atas batu itu. “Apa yang kamu buat?”
“Saya memberus dan menggosok bulu saya supaya berwarna-warni seperti merak!”
“Adakah kamu pasti asal bulu merak ialah hitam seperti kita?” (bersambung...)