Thursday, November 22, 2007

Hitam berkilat

“Alangkah indahnya bulu merak!” bisik gagak sendirian dari atas pokok sambil memerhatikan merak mengembangkan kepaknya yang beranika warna itu. “Mengapakah bulu merak begitu cantik?”
Gagak terus berfikir. Lama ia berfikir sendirian dan mencari jawapan. “Mungkin ia seorang pembersih dan selalu mandi. Sebab itulah bulunya berseri-seri!”
Gagak terbang ke sebatang sungai. Ia mandi sepuas hatinya. Berjam-jam ia mandi dan membersihkan badan dan bulunya. “Laparnya! Sudah seharian saya di sini!”
Gagak terbang mencari makanan. Ia makan ala kadar sahaja dan segera kembali ke sungai. Ia mandi dan membersihkan bulunya yang hitam itu. Semakin diberus bulunya semakin terserlah warna hitam bulunya itu. “Oh! Mengapa warna-warna cantik seperti merak belum juga keluar? Patutkah saya terus menggosok dan memberus bulu saya ini?”
Gagak tersandar di seketul batu dalam sungai itu. Ia kepenatan memberus dan menggosok bulunya. Tiba-tiba hinggap seekor gagak tua di atas batu itu. “Apa yang kamu buat?”
“Saya memberus dan menggosok bulu saya supaya berwarna-warni seperti merak!”
“Adakah kamu pasti asal bulu merak ialah hitam seperti kita?” (bersambung...)

Tiga juta rakyat Malaysia disahkan sakit mental

SUNGAI PETANI 22 Nov. - Sebanyak 16 peratus atau tiga juta daripada 26 juta penduduk di negara ini disahkan mengalami sakit mental dan jumlah ini adalah sesuatu yang membimbangkan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Katanya, penemuan data terbaru Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan bagi tahun 2006 mendapati kes gangguan mental di kalangan rakyat Malaysia meningkat sebanyak hampir 6 peratus berbanding kajian yang dijalankan 10 tahun lepas.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 20.3 peratus adalah di kalangan kanak-kanak dan remaja berusia bawah 16 tahun.
“Antara faktor tekanan jiwa di kalangan remaja adalah kerana gagal mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan, tekanan daripada keluarga dan sekolah, serta tiada sokongan masyarakat,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kesihatan Mental Sedunia peringkat kebangsaan di sini hari ini.
Katanya, ada di antara murid sekolah tertekan kerana tidak mendapat semua A dalam peperiksaan dan kemudiannya mereka dihina dan dikatakan bodoh serta tidak berguna untuk hidup, jadi mereka mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan masalah iaitu dengan membunuh diri.
Chua berkata, daripada jumlah itu juga, sebanyak 11.2 peratus adalah pesakit di kalangan orang dewasa dan 19.5 paratus di kalangan warga emas yang berusia melebihi 70 tahun.
“Masalah kesihatan mental tidak boleh dipandang ringan, beban penyakit itu memberi kesan kepada masyarakat dan negara, dan kos perubatan untuk pesakit mental adalah semakin tinggi, manakala pesakit pula sering tidak mendapatkan rawatan awal kerana percayakan rawatan bomoh,” kata beliau.
Kes membunuh diri juga didapati semakin meningkat dengan sebanyak 20 hingga 30 orang daripada setiap 100,000 rakyat Malaysia membunuh diri setiap tahun.
Beliau berkata, kementerian juga mengalami masalah kekurangan pakar psikitiari kerana stigma masyarakat untuk menjadi pakar jiwa.
“Ada orang kita menggelar pakar jiwa `doktor gila’ dan ini menyebabkan kursus perubatan psikitiari tidak begitu popular sehingga sekarang,” kata beliau.
Katanya, setakat ini, cuma terdapat 145 orang pakar psikitiari dan negara memerlukan lebih 300 pakar lagi dalam bidang itu untuk mencapai nisbah 50 pesakit bagi seorang psikitiari.
Chua berkata, sehubungan itu, kerajaan mahu usaha mempertingkat kesedaran mengenai kesihatan mental ditambah.
- Bernama
http://www.utusan.com.my/

Friday, November 16, 2007

Bukan sekadar menulis...

PERKEMBANGAN semasa dalam semua aspek yang melanda negara ini terpaksa meletakkan para pengarang bukan sekadar penulis atau deklamator semata-mata. Ia lebih jauh daripada itu.
Antaranya sebagai individu yang bertanggungjawab memperjuangkan maruah bahasa Melayu, mempertahankan kesusasteraan dan memperbaiki kepincangan-kepincangan sosial melalui ketajaman pena.
Tanggungjawab tersebut menjadi lebih besar kepada seseorang penulis yang bergelar Sasterawan Negara. Mereka tidak sekadar memperkayakan khazanah sastera tetapi memperkukuhkan hegemoni bahasa Melayu itu sendiri.
Apalah erti gelaran Sasterawan Negara jika hanya berdiam diri ketika bahasa dan sastera Melayu semakin terpinggir oleh sikap dan pandangan sempit sebahagian masyarakat kita.
“Ramai yang menyangka bahawa sasterawan tidak langsung mempunyai sikap atau pendirian terhadap isu seni dan budaya bangsa. Padahal realitinya tidak begitu.
Warisan
“Hanya segelintir kecil dan khusus yang tahu bahawa Sasterawan Negara sebenarnya tidak bisu; sekurang-kurangnya saya tidak bisu,” kata Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.
Bagi seseorang pengarang dan Sasterawan Negara sepertinya, A. Samad menegaskan bahasa Melayu adalah bahasa budaya dan seni warisan nenek-moyang. Tanpanya kita kehilangan karakter terpenting sebagai bangsa Melayu.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab seseorang Sasterawan Negara dan seluruh pengarang di negara ini untuk melahirkan karya yang harus serasi dengan ucap dan isi zamannya.
Karya-karya seni yang dihasilkan mereka juga mesti berguna kepada masyarakat setidak-tidaknya sebagai khazanah yang boleh dikaji oleh generasi akan datang.
“Para seniman dan pengarang adalah mata, hati, telinga, minda dan lidah masyarakat dan generasi baru yang ada pada hari ini wajar memahami pokok intelektualiti kepengarangan seseorang penulis.
“Percayalah, setiap masyarakat sangat memandang kepada senimannya. Makanya, setiap seniman atau pengarang wajar pula menyedari gelora hidup lahir-batin masyarakat yang harus dibantunya,” ujar beliau.
Sementara itu, Sasterawan Negara, Dr. S. Othman Kelantan berkata, seseorang penulis perlu mempunyai kesungguhan dan memahami semua aspek termasuk langgam bahasa untuk menghasilkan karya kreatif dan imaginatif.
Seseorang penulis juga perlu mempunyai tahap penguasaan bahasa (bahasa Melayu) dengan baik, di samping keupayaan menggunakan pengalaman untuk diterapkan menjadi sebuah karya sastera yang baik.
“Pengalaman dan pengetahuan kita memberi daya fikir yang boleh diwujudkan secara kreatif. Pengalaman bertolak dari realiti. Pengetahuan pula diperoleh daripada pembelajaran kita seumur hidup.
“Novel saya, Orang Kota Bharu (2003) lahir berdasarkan pengalaman saya sebagai penduduk Kota Bharu dan apa sahaja kegiatan termasuk perarakan atau demonstrasi politik dan lain-lain,” katanya.
Oleh itu, walaupun novel atau cerpen hanya sebuah karya kreatif, ia mesti ada daya imaginasi atau daya reka dan sensitiviti atau daya sentuh.
Kekuatan sesebuah karya sastera ialah keupayaan seseorang pengarang mengolah imaginasi dan sensitiviti. Bagaimanapun ia tidak mengikis tujuan asal sesebuah teks sastera untuk membina masyarakat.
Sungguh kegiatan bersastera telah berkembang dan tercerna dalam kerangka ilmu-ilmu sosial ataupun kebudayaan. Gagasan daripada kegiatan itu secara tidak langsung memberi impak besar kepada produksi para pengarang.
Aspek stilistik dalam sastera mempermudah kenyataan keilmuan untuk menemukan format ideal dalam penghasilan karya.
Oleh itu, pandangan kedua-dua Sasterawan Negara sangat jelas. Sastera sentiasa mempunyai fungsi berganda. Satu sisi ia menonjolkan kekuatan intelektual seseorang pengarang dan satu sisi lagi menjadi lidah serta minda masyarakat.
Bagaimanapun, tidak wajar ada tuduhan-tuduhan sempit bahawa Sasterawan Negara tidak menjalankan ‘tanggungjawab’ dalam memperjuangkan bahasa dan sastera Melayu.
Seperti kata, A. Samad, bila timbul pelbagai isu berkaitan dengan budaya, kesenian dan kesusasteraan, para Sasterawan Negara dan pengarang adalah kelompok yang paling lantang bersuara sama ada menerusi karya mahupun lisan.
Pandangan Antonio Gramsci, tokoh kiri dari Itali, pelopor konsep hegemoni dalam konteks kegiatan intelektual sangat menarik untuk dihubungkan dengan pendapat S. Othman dan A. Samad tersebut.
Gramsci menegaskan kerja-kerja intelektual termasuk sastera mesti menggunakan data empiris dan dikembangkan melalui tulisan.
Kegiatan seperti itu memerlukan perjuangan yang menyeluruh menentang kebiasaan diletantisme (aliran pecinta seni dan sastera) yang hanya mengutamakan keindahan dan bukannya fungsi masyarakat.
Gramsci benar-benar terhegemoni dengan karakteristik kegiatan diletantisme sehingga perlu mengenali sekali gus menjauhinya. Mengapa Gramsci disokong oleh beberapa sarjana menyokong pendapat tersebut?
Sebagai seorang intelektual, seseorang pengarang perlu sensitif terhadap pelbagai isu. Mereka bukan sekadar berkarya tetapi juga membentuk dunia idealisme untuk masa depan masyarakatnya.
Melihat kedudukan kelompok diletantisme (meminjam pandangan Gramsci) memang penting untuk dihindari. Gagasan pengarang meskipun bersifat imaginatif dan fantasi, namun perlu menjadi wadah kepada masyarakat.
Menghindari kelompok diletantisme juga penting bagi kerajaan. Masyarakat bukanlah buah-buah catur yang patut dijadikan permainan spekulatif. Objektif sastera mewujudkan karya yang boleh mendidik dan memajukan bangsa.
Karya sastera pun banyak yang menghindari kegiatan diletantisme sejak berkembangnya sastera moden di negara ini. Antaranya, Putera Gunung Tahan oleh Ishak Mohamad atau Ranjau Sepanjang Jalan oleh Shahnon Ahmad.
Teks-teks tersebut menjadi kuat kerana penggunaan disiplin politik, sosiologi, komunikasi, dan latar adat masyarakat Melayu tanpa terlalu terikat dengan estetika sastera.
Bagi S. Othman, seseorang pengarang yang baik perlu mengutip pelbagai aspek positif termasuk pengalaman peribadi dalam berkarya dan menghindari pemahaman dilentatisme.
Ini kerana sesebuah karya sastera bukanlah paparan estetika bahasa semata-mata sebaliknya bagaimana menyediakan wadah membina peradaban bangsa dan membaiki semua kelemahan yang ada dalam masyarakat. petikan Utusan Malaysia http://www.utusan.com.my/

Thursday, November 08, 2007

Ada-ada sahaja...

“Seronok sungguh dapat bermandi manda di sungai ini,” kata Mohd Rasul kepada Ittah.
Beberapa hari hujan turun, paras air sungai lebih dalam daripada biasa. Mereka memerhatikan ke dalam sungai.
Kata Ittah, “Main selam-selam tentu seronok sebab airnya dalam!”
Tambah Pilus pula sambil berlari ke tebing, “Marilah kita mandi sekarang!”
Mereka membuka baju dan hanya berseluar sahaja ketika mandi. Seperti melepaskan segala kebosanan setiap hari ke sekolah, mereka mandi sepuas-puas hati sehingga hari senja.
“Bibir awak berwarna biru,” kata Mohd Rasul kepada Johan.
“Bibir awak juga!”
Suara Pilus terketar-ketar, “Sudah lama kita di dalam sungai ini.”
Ittah berenang menghampiri mereka. “Marilah kita berenang dan menyelam sebelum naik ke tebing.”
Semua sepakat kata, berenang sambil menyelam hingga ke seberang dan kembali semula ke tempat mereka meletakkan baju. Sambil berenang mereka saling tarik menarik di antara satu sama lain untuk mendahului di antara satu sama lain. Akhirnya semua mereka naik ke tebing kecuali Mohd Rasul.
“Mengapakah awak masih berendam? Masih belum puas berenang lagi?” tanya Johan yang hampir siap memakai bajunya.
Tanya Ittah pula apabila terlihat Mohd Rasul berenang ke sana sini. “Apa yang awak cari, Rasul?”
“Seluar saya! Seluar saya hanyut!.”
“Seluar hanyut?” jerit mereka serentak dari tebing sungai.
Mereka cuba menyusur sungai dan mencari-cari seluar Mohd Rasul yang hanyut.
Ittah mula ketawa terkekek-kekek, “Bagaimana pula seluar itu boleh terlucut dari punggung awak?”
“Siapa yang main tarik-tarik tadi?” tanya Mohd Rasul pula meninggikan suaranya.
“Janganlah marah-marah. Kita semua bermain tadi,” celah Johan cuba menenangkan suasana.
“Bagaimana sekarang?” tanya Pilus. “Tidak mungkin Rasul pulang tanpa berseluar pula.”
Mereka memerhatikan Mohd Rasul yang masih berendam di dalam sungai dengan bercampur baur. Kasihan ada geli hati pun ada. Sesekali mereka memandang ke arah lain dan cuba menahankan diri daripada ketawa sehingga bergoncang bahu mereka.
“Biarlah saya beritahu emak awak,” cadang Pilus.
“Awak tunggulah di sini,” pesan Johan pula sebelum mereka semua beredar dari tebing sungai meninggalkan Mohd Rasul bersendirian.
Hampir sejam Mohd Rasul menunggu. Bibirnya semakin membiru. Dia menggigil kesejukkan.
Wak Piah muncul dengan sehelai tuala dan sehelai seluar di tangan kanannya. Di tangan kirinya pula ialah ranting kayu yang dipatahkannya ketika dalam perjalanan. “Bagaimana mandi sungai sehingga tertanggal seluar? Berapa jam kamu menyelam?”
Mohd Rasul tidak menjawab. Dia menggigil kesejukkan. Sambil memakai seluar dia terketar-ketar.
“Besok hanyutkan sehelai lagi seluar!” jerit Wak Piah bersama hayunan ranting kayu singgah ke punggung Mohd Rasul.

Sunday, October 21, 2007

Sujud Qutuz di medan berdarah

“Allahu Akbar!” jerit Jamaluddin Aqusy al Syams serentak dengan libasan pedang di tangannya dengan ledakan semangat dan tenaga yang terkumpul.

Setiap pasang mata terbeliak mengekori topi besi yang tergolek jatuh ke bumi bermandi darah itu. Tiada tutur yang mampu diluah melainkan degup jantung semakin kencang kedengaran di saat libasan pedang dan balingan tombak terhenti buat seketika.

Sebaik sahaja topi besi itu tersandar di sekujur mayat yang terdampar menyembah bumi, terserlah wajah panglima mereka. Kepala panglima terunggul bangsa Tartar diselaputi debu dan darah!

“Kepala Panglima Katabgha!” jerit salah seorang tentera Tartar.

Pasukan tentera Tartar mula hilang fokus. Panglima perang mereka tewas. Libasan pedang dan lontaran lembing tidak lagi sehebat awal peperangan. Barisan tentera mereka mula kucar kacir. Mereka berperang penuh ketakutan dan mula melarikan diri dan medan peperangan. Tentera Islam tidak melepaskan peluang langsung mengejar mereka hingga ke bahagian utara Ain Jalut dan seterusnya sehingga ke Bisan.

Peperangan sengit terus berlangsung. Tentera Tartar terus menggila di medan tempur bagi memastikan mereka terus hidup selepas berakhirnya peperangan. Panglima tertinggi Islam yang merupakan perancang utama pertempuran penuh strategi ini, Qutuz, terus membakar semangat anak buahnya.

“Ya Allah! Bantulah kami!”

Paluan gendang kembali rancak mengiringi hentakan kaki kuda, libasan pedang yang berdentang denting dengan gamatnya. Semakin lama hiruk pikuk itu semakin menyepi dan tiba-tiba suasana menjadi sunyi. Tiada lagi bunyi lagaan pedang dan tujahan tombak mahupun hentakan kaki kuda. Tiba-tiba...

“Allahu Akbar!” laungan bergema oleh tentara Islam sebagai mengistiharkan kemenangan mereka. Disambut bersahut-sahutan oleh seluruh tentera yang masih mampu bersuara walau jasad terbaring rebah berlumur darah bersama linangan air mata kemenangan bercampur hiba kerana lebih mengharapkan syahid....

Panglima Qutuz sujud di medan bersimbah darah menyatakan syukur kepada Allah yang memberi kemenangan di bulan penuh mulia ini iaitu pada tanggal 25 Ramadhan. Tentera Tartar ditewas tanpa berbaki.

Wednesday, October 03, 2007

Bersama harungi pahit getir

Asma binti Umais dipanggil juga Ummu Ubdillah. Suaminya ialah Jaafar bin Abu Talib, diberi gelaran oleh Nabi Muhammad 'Sahabat yang mempunyai Dua Sayap'. Beliau, sepupu kepada Nabi Muhammad dan abang kepada Ali bin Abu Talib.
Nabi Muhammad pernah berkata kepada Jaafar, “Wajahmu miripku dan akhlakmu miripku.”
Pasangan Jaafar dan Asma merupakan di antara kelompok berpindah yang pertama keluar dari kota Mekah ke negeri Habsyah. Malah Jaafar dipilih mengetuai rombongan tersebut yang berjumlah lapan puluh tiga orang lelaki dan lapan belas orang perempuan.
Sepanjang perjalanan yang payah lagi sukar itu, mereka harungi dengan penuh sabar bersama-sama ahli rombongan yang lain. Mereka saling sokong menyokong memberi kekuatan dan semangat.
Tiba di Habsyah, rombongan mereka bergabung dengan rombongan Abu Musa al Asyaari yang tiba dari Yaman berjumlah lima puluh orang.
Mereka sepakat dan bersetuju Jaafar sebagai pemimpin mereka. Malah beliau bertindak sebagai jurucakap ketika berhadapan dengan Raja negeri Habsyah iaitu Raja Najashi. Kepetahan dan kebijaksanaan Jaafar berhadapan dengan Raja Najashi memberi seribu rahmat. Raja Najashi memeluk Islam.
Di bumi Habsyah, pasangan ini dikurniakan tiga orang cahaya mata. Abdullah, Muhammad dan Aunan. Asma setia disampingnya bersama mengharungi pahit getir berada di rantau orang. Tanggongjawab mendidik anak-anak tidak pernah diabaikan.
Anak-anak mereka membesar dalam suasana Islam. Anak sulung mereka, Abdullah amat mirip wajah ayahnya, Jaafar. Manakala semua orang tahu wajah Jaafar paling mirip kepada wajah Nabi Muhammad, sepupunya.
Semakin Abdullah membesar, mirip wajahnya semakin terserlah. Setiap kali mereka merenung wajah Abdullah, setiap kali itulah rindu mereka kepada Nabi Muhammad semakin mencengkam.
Suatu hari mereka mendapat arahan daripada Nabi Muhammad bagi berpindah ke kota Madinah. Alangkah gembira mereka di saat mendapat khabar itu walaupun ianya bermakna sekali lagi mereka akan berpindah. Kerinduan mereka kepada Nabi Muhammad mengatasi segala perasaan lain. “Kita segera berangkat ke Madinah!”
Sekali lagi pasangan Jaafar dan Asma bersama anak-anak mereka yang meningkat dewasa bergabung dalam satu rombongan besar menuju ke Madinah. Sekali lagi Jaafar bin Abu Talib memimpin rombongan. Berpindahlah umat Islam yang dahulunya berasal dari Mekah dan Yaman buat kali kedua dalam sejarah hidup mereka. Kali ini mereka menghala ke Madinah.
Ketika rombongan mereka hampir ke Madinah, satu khabar gembira mereka terima. Tentera Islam menang dalam peperangan Khaibar. Takbir bergema sepanjang perjalanan menuju ke Madinah seolah-olah turut mengiringi ketibaan rombongan mereka.
Ketibaan mereka disambut oleh Nabi Muhammad. “Saya tidak pasti mana satu yang paling menggembirakan saya sekarang. Kemenangan Khaibar atau ketibaan rombonganmu!”
Mereka saling berpelukan di antara satu sama lain.*****

Monday, September 24, 2007

Teka teki

Guru tadika itu menyerahkan beberapa keping gambar binatang dan pokok bagi ditampal ke kertas lukisan masing-masing. Seorang murid ternyata menghasilkan satu tampalan yang lain dari teman-temannya. Sudahlah satu permukaan lukisan basah oleh curahan gam yang melebihi dari yang diperlukan. Sedangkan, gurunya sudah jelaskan sapukan gam ke belakang gambar sahaja.

Hasil kerjanya itu ialah dua ekor gajah saling berhadapan. Seekor berdiri tegak, seekor lagi dalam posisi berbalik. Umpama bas terbalik dan semua tayarnya ke atas... Manakala beberapa batang pokok pula ada yang tegak dan banyak yang ditampal melintang. Pokok tumbang? Ada sebatang pokok yang sengaja dikerat dua dan pangkalnya tegak manakala bahagian pucuk dibiarkan dalam posisi tumbang...

Agaknya mengapa gajah itu tertampal dalam posisi terbalik, pokok dikerat dan sebagainya?

Saturday, September 22, 2007

Cepatnya kiriman

Sejak suaminya terlantar sakit, dialah yang membanting tulang mencari rezeki. Upah kerja di gerai barangan perhiasan sebanyak RM30 sehari dimanfaatkan sebaiknya. Namun secermat mana sekali pun tentu jumlah sebanyak itu tidak mencukupi buat belanja hidup di tengah kota metropolitan ini. Apa sangatlah yang boleh dibelanja dengan nilai sebesar itu.

"Alhamdulillah... beli serba sedikit. Sekurang-kurangnya kami sekeluarga tidak pernah berlapar walau pun terpaksa makan bubur nasi beberapa hari."

Langkah kakinya gagah menapak memasuki sebuah kedai runcit. Di tangannya kemas menggenggam wang upah kerjanya hari itu. Deretan rak di hujung sana dikerlingnya. "Semalam Yana sebut-sebut, sudah lama dia tidak minum jus itu!"

Dia mengira-ngira jumlah barang yang perlu dibayar. Kentang sebiji, bawang besar dua biji, tempe sekeping, ikan tiga ekor, beras, minyak, itu, ini...
"Bakinya tidak cukup membeli sebotol jus yang diingini Yana..." bisiknya sendirian lalu melangkah ke kaunter. "Esok sahaja saya belikan. Yana terlalu inginkannya."

Langkahnya kini lebih pantas. Kiri kanan tangannya membimbit dua bungkusan plastik. Dia perlu segera pulang bagi memasak bahan berbuka puasa. Wajahnya kembali ceria dalam kelelahan apabila tiba di muka pintu lalu segera mengucap salam.

Belum sempat dia melangkah masuk. Sebuah kereta berhenti di hadapan rumahnya. Kawan lamanya. "Kami dari kedai membeli barangan dapur. Entah mengapa tiba-tiba teringatkan awak sekeluarga."

"Jemputlah masuk."

Kawan lama melirik jam di tangan. "Belum masak lagi.... lain kali sahaja saya singgah. Terimalah sedikit buat berbuka puasa."

Satu bungkusan disambut tanpa sempat berbual panjang. Kawannya bergegas masuk ke kereta semula dan berlalu pergi umpama angin petang.

"Banyak awak berbelanja hari ini," sapa si suami dari peraduan. Dia terlantar namun masih gagah berpuasa.

"Ibu beli apa?" tanya Yana menyambut satu bungkusan dari tangan ibunya. "Jus anggur ada?"

"Maafkan ibu. InsyaAllah, esok ibu belikan."

Yana tersenyum. "Tidak mengapa. Jika ibu tidak cukup duit tidak perlulah beli. Saya hanya teringin sahaja."

Si ibu tersenyum lebar. Tangannya kembali ligat mengeluarkan barangan yang dibeli. Juga bungkusan hadiah dari kawan lamanya. "Oh!"

"Mengapa ibu?"

Cucuran air mata ibu membuat Yana turut menyelongkar bungkusan di hadapan ibunya. "Jus anggur!"

"Yana, lihatlah betapa kasihnya Allah kepada kita sekeluarga. Betapa cepatnya ditunaikan permintaan Yana..."

"Yana cuma teringin sahaja...tetapi Allah sudah hantarkan...cepat sungguh!"

"Ucaplah Alhamdulillah. Biar kita menjadi hamba Allah yang bersyukur."

"Alhamdulillah...." ucap Yana sambil memeluk botol jus anggur yang diinginnya buat berbuka puasa.

"Begitulah... Allah itu terlalu dekat dengan hamba-hambanya. Jangan pula kita menjauhkan diri dariNya," si ayah mencelah dari sudut pembaringannya.

Monday, September 17, 2007

Jom Lumba!

"Sudah 6 hari kita berpuasa. Beberapa helai lagi baru tamat juz 6!" ucap Mohd Rasul kepada isterinya sebaik sahaja menutup kitab suci al Quran.

Semangkuk bubur pulut hitam dihidangkan bersama secawan teh. Mahsuri tersenyum lebar. "Basahkan tekak dulu. Kemudian, sambunglah lagi bacaannya."

"Suri pula sudah juz berapa?"

Situasi kerja yang tidak menentu membuatkan mereka mengambil keputusan membaca al Quran sendiri-sendiri. Malah Mohd Rasul turut sama bertadarus di surau berdekatan. 2 kali khatamlah kiranya di bulan Ramadhan ini.

"Juz 11!"

"Juz 11?"

Hampir tersembur teh yang baru dihirupnya. Mujurlah bubur pulut hitam belum disuapnya lagi.
"Mengapa terkejut begitu?" Mahsuri ketawa sambil menghulurkan sehelai tisu.

"Cepatnya!"

Mahsuri terus ketawa terkekek-kekek. Mohd RAsul masih menunggu jawapan isterinya. "Cakaplah apa rahsianya?"

Senyuman Mahsuri masih lebar. "Sebenarnya saya sudah mulai beberapa hari lebih awal!"

"Tak aci!"

"Ala... apa salahnya..."

"Patutlah dah juzuk 11!"

Semangkuk bubur pulut hitam dihabiskan. Sesekali mereka ketawa geli hati.

"Biarlah ...saya boleh khatam dulu! Lagi pun nanti, abang khatam 2 kali."

Jadi?"

"Biarlah yang ini saya khatam dulu!"

"Belum tentu lagi... perlumbaan belum tamat. Masih ada banyak hari lagi..."

Mahsuri terkulat-kulat. "Saya akan pastikan saya juara lumba khatam kali ini."

"Lumba-lumba juga tetapi jangan sampai lupa tujuan utama membacanya. Tajwidnya dijaga."

"Ya. Ya. Saya ingat itu."

Mohd Rasul ketawa sendiri. Mahsuri mengemas mangkuk dan cawan kosong lalu cepat-cepat dibawa ke dapur. Dia kembali semula dan membuka semula kitabnya. Mohd Rasul tersengih memerhati dari jauh. "Kita lihatlah nanti...siapa juaranya!"

Agaknya siapakah juara lumba kali ini?

Tuesday, September 11, 2007

Friday, September 07, 2007

Teka-teki

Ketika makan malam semalam, anak lelaki saya mengajukan beberapa teka-teki. Saya paparkan salah satunya.

Ada 100 ekor burung bertenggek di sebatang pokok rendang. Seorang pemburu mengacukan senapangnya dan menembak. Sasarannya mengena. Jatuhlah seekor daripadanya. Berapa ekor burung yang masih ada di pokok rendang itu?

Siapa boleh jawab teka-teki ini? Angkat tangan!

Wednesday, September 05, 2007

Cerita kita


Kompilasi cerpen dan komik daripada penulis dan pelukis PTS One khas untuk remaja.
Ada 24 cerpen menarik dan 6 komik eksklusif untuk semua pembaca. Bonus! 2 kad ucapan percuma.

Friday, August 31, 2007

Pesan mereka...

Pabila mengimbau sejarah silam
Orang-orang soleh dan generasi awal
Betapa kehidupan mereka itu
Senentiasa memanjatkan rasa syukur
Dari awal terbitnya fajar
Hinggalah ke lelapnya mata.

Hidup mereka penuh bahagia
Walaupun kadangkala perut terikat ketat
Dek batu-batu penahan lapar
Hanyalah tegukan air sebagai
Pengganti mengalas perut
Sementara menunggu penuh sabar.

Tiada derita, cemas maupun gelisah
Oleh kepayahan hidup yang
Hanya sementara cuma
Malah terus mengalir kebaikan
Kemakmuran dan kesejahteraan
Di mana sahaja mereka menyinggah.

Tidak sekali hidup mereka
Merasakan kesibukan duniawi
Malah hanyalah disibukkan
Dengan amal soleh.

Sedih,hiba dan pilunya
Hanyalah kerana memikirkan
Amal yang diusaha saban hari
Mendidik diri dan peribadi
Membina akhlak membenteng diri.
Terus beramal dan bertawakkal
Mengasuh iman mendekat diri
Kepada Allah yang Maha Esa.

Ohh...Kata mereka; terimalah apa jua
Yang diberi Allah sebagai
Suatu anugerah yang
Sememangnya tiada siapa
Yang dapat memberinya
Selain Dia maka
Kamulah manusia terkaya...
Kata mereka lagi;
Terimalah dengan rela hati
dengan bentuk tubuh yang
Dicipta Allah hanya untuk kamu
Walau bagaimanapun suara kamu
Walau bagimanapun keluarga kamu
Semiskin mana pun keadaan kamu
Redhalah....

Mereka berpesan lagi;
Sewajarnya kita semua
Bersenang hati dalam
Menerima sesedikit mana jua
Yang kita punyai malah
Redha dengan apa apa yang
Tidak kita punyai...

ucapkanlah Alhamdulillah.....

Tuesday, August 28, 2007

Anak bertuah

“Saya naik saksi bahawa tidak ada tuhan yang disembah melainkan Allah dan saya naik saksi bahawa Muhammad pesuruh Allah!” lafaz Anas bin Malik dengan lancar mengikuti tutur ibunya.

“Alhamdulillah!” ucap Ghumaisho' binti Milhan, ibu Anas sebaik sahaja anaknya berjaya mengucapkan kalimah yang diajarnya. Dia memeluk Anas dengan dakapan kasih seorang ibu.

“Apakah kalimah yang ibu ajarkan itu?”

“Itulah dua kalimah Syahadah. Kalimah Agung yang menjadi pintu masuk ke dalam agama Islam.”

“Apakah erti kalimah yang ibu ajarkan itu?”

“Ertinya, kamu sekarang ialah penganut agama Islam. Kamu mengaku bahawa hanya Allah yang layak disembah dan Muhammad utusanNya.”

Anas mengangguk perlahan-lahan membuatkan Ghumaisho' menguntum senyum dan menarik nafas lega. Anas membalas senyuman ibunya sambil berkata, “Saya akan menjadi seorang penganut Islam yang baik!”

“Ibu tahu kamu memang seorang anak yang bertuah!”

Saban hari, Ghumaisho atau lebih dikenali dengan Ummu Sulaim mengajarkan tentang Islam yang dipelajarinya kepada Anas. Beliau turut bercerita tentang siapa Muhammad sehingga timbul kerinduan di hati anak kecilnya itu.

“Bilakah saya dapat bertemu dengan Muhammad? Terasa amat rindu sekali.”

“Allah akan kabulkan permintaan baik kamu itu,” pujuk Ghumaisho' memberi harapan.

Sehinggalah hari yang ditunggu-tunggu oleh seluruh orang-orang Islam di Madinah tiba. Mereka mendapat khabar bahawa Nabi Muhammad dalam perjalanan bersama sahabat rapatnya, Abu Bakar. Ketibaan mereka disambut dengan gembira dan penduduk Madinah berebut-rebut mengajak tetamu agung itu singgah ke rumah mereka. Ketika itu Anas berpeluang melihat wajah mulia yang dirindu sekian lama.

Unta tunggangan Nabi Muhammad dibiarkan sahaja melangkah sehingga akhirnya rumah Abu Ayub menjadi pilihan. Bergembiralah keluarga Abu Ayub menerima tetamu agung itu. Orang-orang Islam Madinah tidak putus-putus mengunjungi Nabi Muhammad dan membawa berbagai hadiah atau buah tangan sebagai tanda meraikan tetamu agung itu. Semuanya diterima dengan baik oleh Nabi Muhammad.

Pada hari suatu hari Ummu Sulaim bersiap-siap lebih awal. Anas dimandi dan dipakaikan dengan baju terbaik. Rambutnya disikat dengan kemas dan rapi. Sambil berpimpingan tangan mereka dua beranak melangkah ke rumah Abu Ayub.

Ummu Sulaim turut menziarahi Nabi Muhammad dengan membawa satu hadiah istimewa kesayangannya untuk Nabi Muhammad. “Semua lelaki dan wanita di Madinah memberi hadiah kepada tuan. Saya tidak ada apa-apa selain anak ini. Terimalah dia... dia akan berkhidmat untuk tuan, mengikut apa sahaja yang tuan kehendaki.”

Nabi Muhammad tersenyum dan menghulurkan tangan menyambut anak yang diserahkan oleh Ummu Sulaim. Beliau mengusap-ngusap kepala Anas dan membetulkan anak rambut yang terjuntai di dahi dengan hujung jarinya. Perbuatan Nabi Muhammad terhadap Anas menyenangkan hati Ummu Sulaim membuatnya tersenyum. Bermula hari itu, Anas bin Malik menjadi sebahagian daripada anggota keluarga Nabi MUhammad. Ketika itu Anas berusia sepuluh tahun.

“Hajat kamu dimakbulkan Allah. Kamu akan melihat wajah mulia PesuruhNya setiap masa. Berbuat baiklah,” pesan Ummu Sulaim sebelum beredar.

Anas dilayan dengan baik oleh Nabi Muhammad. Apabila rindu kepada ibu, beliau meminta izin untuk pulang buat seketika dan pulang semula ke rumah Nabi Muhammad yang merupakan rumah pertamanya kini.

Beliau menimba ilmu Islam terus daripada Nabi Muhammad dan merekodkan banyak hadis Nabi dan ia memenuhi dadanya.******

Thursday, August 09, 2007

Permata Habib

“Anak-anak saya juga turut dibawa sama bagi mengikat janji taat setia kepada tuan,” jelas Zaid ketika bersama kelompok tujuh puluh orang-orang Islam daripada Yastrib bertemu dengan Nabi Muhammad.

Abdullah bin Zaid dan adiknya yang masih kecil bernama Habib bin Zaid menghulurkan tangan kepada Nabi Muhammad dan disambut oleh dengan sebuah senyuman penghargaan. Sejak itu cinta dan kasih Abdullah dan Habib walaupun masih kecil berputik kepada Nabi Muhammad.

Mereka turut dibawa ke medan perang bersama ibu dan ayah mereka, Zaid bin Ashim dan Ummu Amarah. Ibunya merupakan wanita pertama mengangkat senjata mempertahankan agama dan membela Nabi Muhammad. Mereka menyaksikan peperangan demi peperangan yang bermati-matian hanya kerana menegakkan agama Allah.

Sehinggalah ke usia remaja Habib diberi tanggongjawab memegang bendera Islam di medan perang. Beliau mara tanpa rasa gentar apatah lagi mereka adik beradik sudah didedahkan dengan perjuangan sejak kecil lagi.

Pada suatu hari Nabi Muhammad memilih Habib sebagai pembawa utusan kepada Musailamah bin Habib bin al Hanafi yang mengaku dirinya juga Pesuruh Allah. Musailamah digelar sebagai Musailamah al Kazdzab yang bermaksud, Musailamah Pembohong.

“Ikat utusan itu!” jerit Musailamah bin Habib bin al Hanafi, mengarahkan orang-orangnya selesai sahaja surat perutusan dibaca.

Dada Musailamah berombak menahan marah dan geram sebaik sahaja membaca surat yang diterimanya dari utusan Nabi Muhammad, Habib bin Zaid.

Musailamah kembali murtad setelah dia pulang kepada kaumnya, Bani Hanifah. Malah mengajak kaumnya menyertainya. Ajakan Musailamah tidak sia-sia. Kebanyakkan kaumnya menerima kata-kata Musailamah bahawa dia adalah nabi yang diutuskan tuhan untuk kaum Hanifah walaupun ada yang jelas Musailamah adalah pembohong tetapi atas dasar sekaum, mereka menyokongnya juga.

Keesokkan paginya Habib yang diikat, diheret ke satu majlis dengan kasar. Beliau diheret dengan kasar ke tengah-tengah kaum yang penuh dengki dan sombong itu. Musailamah berjalan angkuh mendekati Habib. “Adakah kamu mengaku Muhammad itu Pesuruh Allah?”

“Ya. Saya mengaku Muhammad itu Pesuruh Allah!”

Dada Musailamah tiba-tiba kembali berombak mendengar jawapan Habib. “Adakah kamu juga mengaku bahawa aku ini Pesuruh Allah?”

Habib merenung wajah Musailamah dengan mencebikkan bibirnya. “Telinga aku tuli kerana tidak pernah mendengar perkataan begitu!”

Musailamah menggetap bibirnya dan menggenggam tangan lalu menoleh ke arah pengawal-pengawalnya yang bersiap sedia menunggu apa sahaja arahan daripada tuannya dengan pedang tajam berkilau terhunus di tangan.

“Potong cuping telinganya!”

Tanpa belas, kedua belah cuping telinga dilibas dan jatuh ke bumi. Musailamah mengelilingi sekujur jasad Habib tanpa telinga dengan pandangan mengejek diadun benci. “Adakah kamu mengaku Muhammad itu Pesuruh Allah?”

“Ya! Aku mengaku bahawa Muhammad Pesuruh Allah!” jerit Habib anak pasangan Zaid dan Ummu Amarah dengan kuat dan tegas tanpa gentar walaupun titisan darah mengalir di kiri dan kanan bahagian telinganya.

“Adakah kamu mengakui aku Pesuruh Allah?”

Linangan darah merah mengalir di tepi wajah anak muda yang berani itu tidak sedikit pun membuatnya tidak selesa. “Aku tidak pernah dengar kata-kata itu!”

“Potong tangannya!”

Kini kedua belah tangan mulia milik anak muda mulia dilibas dan gugurlah ke bumi. Pengikut-pengikut Musailamah bersorakan menyokong tindakan gila ketua mereka yang semakin menjadi-jadi. Dalam bersorakan itu mereka masih bingung dan hairan dengan Habib.

“Mengapa anak muda itu tidak mengikut sahaja kata-kata Musailamah?”

“Ya. Hairan sungguh. Anak muda itu lebih rela diperlakukan begitu daripada mengaku Musailamah adalah pesuruh Allah!”

Mereka tersentak oleh jeritan Habib yang memenuhi ruang hukuman itu. “Aku mengaku Muhammad itu Pesuruh Allah!”

Musailamah semakin menggila. umpama orang hilang akal dia juga turut menjerit memberi arahan. “Potong kakinya!”

Kedua belah kaki yang sejak kecil melangkah ke medan perang itu jatuh terkapai. Musailamah melihat tanpa belas malah benci dan marahnya semakin meluap-luap dengan jawapan sama yang berulang-ulang dari mulut Habib. Matanya berpinar-pinar menyala umpama seekor naga ganas yang tidak pernah puas.

Akhirnya, cedera parah yang ditanggong oleh Habib menamatkan riwayat hidupnya. Pergilah seorang anak muda kebanggaan pasangan Zaid dan Ummu Amarah yang berkorban demi menegakkan agama Islam di usia yang begitu muda.******

Sunday, August 05, 2007

Sudah terbit!


Semailah budi pekerti yang baik

Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik mula mengajukan soalan kepada Salamah bin Dinar, seorang hakim terkenal di Madinah ketika itu. “Mengapa kita takutkan mati?”

“Sebab kita terlalu membangunkan dunia dan kita musnahkan akhirat kita. Jadi, kita tidak suka untuk keluar dari dunia yang kita bangunkan ke akhirat yang kita musnahkan.

“Benar,” Khalifah Sulaiman mengiakan jawapan Salamah. “Apakah mungkin kita mengetahui nasib kita di hadapan Allah kelak?”

“Bandingkan amalanmu dengan kandungan Kitab Alllah. Nescaya engkau akan mengetahui nasibmu di hadapan Allah kelak.”

“Kandungan ayat yang manakah di dalam kitab Allah?”

“Ayat dari Surah al Infithaar. Semua perbuatan manusia dicatit oleh malaikat dan akan mendapat balasan yang seimbang.kata-kata Allah yang bermaksud; 'Sesungguhnya orang-orang yang banyak berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada di dalam surga yang penuh nikmat; dan sesungguhnya orang-orang yang bersalah, tempatnya di dalam neraka yang menjulang-julang.'”

“Di manakah rahmat Allah?” tanya Khalifah Sulaiman lagi.

“Kata Allah yang bermaksud, 'Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.'”

“Alangkah baik jika saya tahu bagaimana hendak berhadapan dengan Allah kelak!”

“Manusia yang baik umpama perantau pulang ke pangkuan keluarganya. Sementara manusia yang tidak baik pula umpama hamba yang melarikan diri kemudian diheret menemui tuannya.”

Mendengar kata-kata Salamah itu, Khalifah Sulaiman menangis teresak-esak. Dia menatap wajah hakim terkenal itu dengan cucuran air mata. “Bagaimana saya boleh menjadi manusia yang baik?”

“Buangkan segala rasa sombong dan semailah budi pekerti yang baik.”

Sunday, July 29, 2007

Sesudu madu lebah



Seorang perempuan berjalan lemah di jalanan mencari sesuatu bagi mengembalikan tenaganya meneruskan perjalanan. Dia merayau-rayau sehingga tiba di hadapan sebuah rumah. Katanya, “Biarlah saya ke rumah ini!”
Perempuan itu menghampiri rumah itu. Rumah itu milik Al Laits. Pintu rumah itu terbuka luas dan berdiri di hadapannya dua orang lelaki. Perempuan itu menghampiri dengan lemah, “Mudah-mudahan apa yang saya perlukan boleh didapati di rumah ini.”
Pinta perempuan itu sebaik sahaja muncul di hadapan rumah Al Laits, “Berikanlah saya sesudu madu lebah supaya saya kembali bertenaga,”
“Hanya sesudu madu lebah yang kamu perlukan?” tanya Al Laits kembali.
“Ya. Memadailah dengan sesudu madu lebah!”
Al Laits berbisik kepada pembantunya, “Berikan perempuan itu setin madu lebah.”
Pembantu Al Laits menghilang dari muka pintu dan kembali semula dengan satu tin madu lebah sepertimana yang disuruh oleh tuannya dan menyerahkannya kepada perempuan itu sehingga perempuan itu berubah wajah kerana terkejut dengan jumlah madu yang diberikan kepadanya. “Oh!...saya hanya memerlukan sesudu madu sahaja. Pemberian ini melebihi apa yang saya perlukan.”
“Ambillah. Ini ialah pemberian dari tuan saya.”
Perempuan itu mengucapkan terima kasih berulang kali lalu meningalkan rumah Al Laits sambil membawa setin madu lebah di tangannya. Pembantu rumah kemudian menemui Al Laits dan menceritakan apa yang dikatakan oleh perempuan itu lalu.
“Perempuan itu terkejut kerana tuan memberikan melebihi dari apa yang dimintanya.”
Al Laits berkata, “Perempuan itu meminta sekadar keperluannya manakala kita pula memberi kepadanya sekadar nikmat yang menjadi tanggongan kita.”
Al Laits terkenal sebagai seorang yang kaya dan sifat pemurahnya kepada fakir miskin. Dia tidak akan bercakap setiap hari sebelum bersedekah kepada tiga ratus enam puluh orang miskin.
“Semua yang saya miliki ini ada bahagiannya untuk mereka.”

Friday, June 15, 2007

Rindu Ayah



Bersimpuh aku di pusara ayah
kemboja-kemboja putih kutaburi
al Fatihah kukirim
bersama siraman air mawar.

Sunyinya hidup tanpa ayah
penunjuk jalan pengingat alpaku
bimbingan ayah tidak mungkin
kulupa walau jasad bercerai roh.

Ayah...
tiba-tiba sahaja aku merinduimu
ingin sekali kucium tanganmu
yang begitu banyak berkorban
untukku.

Ayah....
Terimakah titipanku?
yang kukirim saban waktu
istimewa dan khusus untuk
ayah seorang.

Ayah...
berbahagialah di sana
bersama teman-teman
yang pastinya baik-baik
seperti ayah.

Ayah....
selayaknya ayah bersama-sama mereka
yang menjadi kesayangan Allah
yang menjadi kekasih Allah.

Tuhan...
limpahlah rahmat
bersama barakahMu
kepada dia
ayah yang kukasih.

Tuhan...
layakkah aku
bersama ayah dan teman-temannya
di tempat bahagia yang
dilimpahi rahmat dan barakah
sepanjang masa itu?