Wednesday, January 03, 2018

Terima kasih 2017

Betapa berat mahu mengucapkan selamat tinggal kerana tidaklah kita bertemu lagi di dunia ini. Terima kasih 2017 atas setiap detik dan saat kebersamaan kita, menjadi saksi kepada satu kembara hidup selama 365 hari. Berceritalah yang baik-baik tentang kita, bagaimana kita memenuhi waktu yang bergerak adakalanya perlahan, adakalanya terasa pantas. Adakalanya terasa lemah dan letih namun putus asa tidak sekali-kali.

Terima kasih 2017.

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang.
Demi masa. Sungguh, manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.
(Al Asr)




Tuesday, December 19, 2017


Bahagia itu pilihan
Ia berada dalam diri
Bukan kepada apa atau siapa
Sesiapa pun layak miliki.




Saturday, December 16, 2017

Berat mata  memandang
Berat lagi bahu yang menggalas
Betapa mungkin ia sama
Namun hati kami bagai dihiris sembilu
Meratap dari kejauhan
Di hati ia rapat dekat sekali
Kalian diperlaku hina sewenangnya
Kami di sini meremang menahan amarah
Semangat kalian berkobar menjulang tinggi
Air mata kami menitis kerana tidak mampu menyertai
Bersama iringan doa yang tidak putus-putus.






Tuesday, December 12, 2017

Kita ini Satu


Kita tidak akan mampu merasai apa yang ditanggung oleh seseorang melainkan merai dan membuka sedikit ruang dalam diri kita mendekati mereka. Meluangkan sedikit masa berkualiti akan keberadaan kita di sisi mereka sebagai tanda peduli. Menjadi pendengar yang baik, dan bijak menangani situasi.

Tidak mungkin kita mampu hidup sendiri walau sehebat manapun kita kerana hidup ini masih jauh perjalanannya. Kita saling memerlukan. Saling mengukuh di antara satu sama lain. Mana yang kurang ditampung, mana yang kuat terus didorong. Ibarat batu-bata yang mendirikan sebuah bangunan. Begitulah hidup generasi terdahulu. Mereka disebut-sebut zaman berzaman kerana hebatnya akhlak dan persaudaraan yang dipamir dan dihayati.

Hari ini kita permudahkan mereka, hari-hari kemudian, Allah permudahkan pula untuk kita. Insya Allah.

Wednesday, November 29, 2017


Guruh yang tidak ada hujan tidak akan menumbuhkan rumput. Begitu juga amalan yang tiada keikhlasan tidak akan membuahkan kebaikan.
                               As Siba'ei


Monday, November 13, 2017

Dalam keterbatasan upaya, adakalanya kita mendesak diri melakukan lebih daripada kadar mampu.
Bagi pesakit kronik dan OKU seperti saya, keterujaan dalam sesuatu kerja sering melupakan siapa diri saya. Segala pantang larang diambil mudah dan cuba bertolak ansur. Kesannya bukan sahaja menyulitkan diri sendiri malah merumitkan orang-orang tersayang di sekeliling. Rutin harian bertukar serta-merta.

Peringatan untuk diri sendiri dan mereka yang seperti saya, beringat-ingat, berhati-hati dan berpada-pada dalam apa jua kerja. Mudah-mudahan peluang dan kerja terus terbentang dan mampu dicapai. Lakukan sehabis baik.

Alhamdulillah. Syukur. Redha.



Tuesday, October 31, 2017

Roda


Alhamdulillah mampu membelek komputer riba semula selepas sekian lama.
Sungguh, hidup ini berputar bagai roda. Tika ia di atas semua nampak selesa dan mudah dicapai. Tika berada di bawah terasa perit dan sakit. Sehari sehelai catatan, bertambah helaian , episod dan bab dan akhirnya menjadi sebuah buku. Itulah kehidupan. Tentunya tidak sia-sia. Ada hikmahnya.
#Alhamdulillah #Istighfar #Syukur #Redha


Tuesday, September 26, 2017

Amal


Wahai orang-orang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah. dan janganlah kamu membatalkan amal-amal kamu.
(Muhammad 47:33)

Duhai anak,
Rasailah seruan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang ini. Panggilan ini untuk kita, hamba-hambaNya.

Kita biasa mulai setiap amal dengan niat yang betul, kerana mahu meraih dan mendapatkan redho Allah. Sering pula kita terlupa menyemak niat awal amal kita, adakah masih kekal kerana Allah Taala atau mula melencong kepada matlamat yang lain. Tidak dinafikan, terlalu banyak lambaian dan tarikan mengiurkan dan sering kali membuat kita menurut tanpa sedar.

Anak,
Seringlah menyemak dan perkemaskan niat supaya ia kekal suci sehingga ke akhirnya. Kumpullah sebanyak amal tanpa merosakkannya. Jaga iman, didik hati agar terus dekat kepada Allah.

Insya Allah dipermudahkannya segala urusanmu, anakku.




Wednesday, August 09, 2017



Anak,

Hela nafas bebaskan keluh dan rungut
Lepas segala yang kelam dan membeban
Di hujungnya pasti terlihat lorong cahaya
Bersabarlah.




Tuesday, August 08, 2017

Senyum



Anak,

Hidup ini punya erti
Senyum ketika memberi
Tanda bahagia di hati





Sunday, July 23, 2017

Perjalanan setiap insan


Saat menziarahi pusara-pusara insan tersayang, ayahanda, bonda dan dua adinda. Ya... tiba waktunya, kami juga menyusul. Ia perjalanan setiap insan hanya waktu dan tempat menjadi rahsia Yang Maha Tahu.

Anak-anak tercinta,
Dalam sibuknya kita dengan urusan dunia, jangan lupa urusan akhirat. Dalam sibuk dengan urusan dunia, niatkanlah sebagai alat meraih akhirat. Dalam sibuk dengan urusan dunia, biarlah berpada-pada dan bersederhana. Dalam sibuk dengan urusan dunia, bijaklah mengurus masa.

Biarlah sibuk kita sibuk yang hakiki. Sibuk yang menyedarkan diri bahawa hidup ini lawannya mati. Mengurus diri, mengurus masa, mengurus rumahtangga, mengurus hidup supaya lebih bemanfaat.

Anak-anak tercinta,
Pupuklah kemuliaan dalam diri, menghargai nikmat yang diberi sebijak mungkin. Sungguh, terlalu banyak nikmat daripada Yang Maha Memberi Kurnia. Senaraikan satu per satu. Banyak, bukan? Laburkan ia ke Pelaburah Akhirat.

Insya Allah.





Friday, July 21, 2017

Air Tangan Bonda

Air tangan bonda manakan sama dengan masakan sesiapa pun walau sama resipinya. Rasanya tetap sedikit berbeza. Sukar digambarkan. Hanya yang kehilangan bonda sahaja yang mampu mentafsirkannya. Betapa kini tiada lagi kesempatan menjamahnya.

Saya membelek koleksi resipi bonda bersama menahan sebak. Banyak kali dicuba masih terasa ada yang kurang. Tekak terasa ada yang tidak kena walau suami dan anak-anak mengatakan ia sedap.

Saat kita duduk bersila rapat-rapat menikmati juadah air tangan bonda. Dalam memori. Indah.

Singgang tongkol, percik ayam, kerutuk daging, acar nenas, pecal mangga, jeruk cili. Nasi dagang, nasi minyak, nasi kerabu, nasi kuning.

Al Fatihah untuk ayahanda,bonda dan adinda berdua.




Tuesday, June 06, 2017

10 Ramadhan berlalu


Berlalu sudah fasa pertama
Namun langkah masih
Belum dipecut
Masih berkira itu dan ini

Ayuh! Memburu terus memburu
Mencari giat mencari
Gugurlah rasa lelah dan lenguh
Nyahlah bisa-bisa dan sakit badan

Aku mahu merentas
Fasa demi fasa
Dengan teguh tanpa tewas
Dengan berani tanpa gentar

Bantu hamba Mu
Wahai Tuhan yang Menyaksi
Jangan biar kami lemas
Tenggelam dalam lautan hawa.







Monday, April 10, 2017

Perjalanan ini...


Bagaimana perjalanan kita? Bagaimana kita memaknai kembara ini? Ia hanya sekali. Tidak dua, tiga atau lebih. Kembara ini bersifat 'sehala'. Tidak boleh berpatah balik atau U-turn.

Dalam kembara, kita bertembung dengan berbagai situasi luka dan duka. Kisah sedih dan air mata. Adakah ia bermakna tiada bahagia? Bagaimana kita memaknai erti bahagia?

Apapun jawabannya, biarlah ia membawa kita kepada suatu yang pasti. Bahawa kembara hidup ini wajar diindahkan, dibahagiakan. Dalam duka dan sakit kita mampu mengukir senyum, tanda sedar Allah peduli kita. Dalam suka dan tawa, bibir kita tidak lupa melafaz kalimah agung-Nya, tanda kita peduli nikmat-Nya.

Allah...


Wednesday, March 29, 2017

Hati Diketuk Jiwa Disentap



Sesekali hati diketuk disapa
Sesekali jiwa disentap rasa

Tidaklah ia bermaksud melukai
Malah ia tanda peduli.

Sesekali hati diketuk disapa
Sesekali jiwa disentap rasa

Tiada lain ia mengingati
Bahawa hidup itu lawannya mati.

Sesekali hati diketuk disapa
Sesekali jiwa disentap rasa

Memberitahu perlu ditambah bekalan
Itu yang mahu dibawa di hadapan Tuhan.

Sesekali hati diketuk disapa
Sesekali jiwa disentap rasa

Mengingatkan hidup bukan hanya diri sendiri
Harus bermanfaat, memberi dan suka berkongsi.







Saturday, March 25, 2017

Hidup



Begitulah hakikatnya hidup. Ada manis, ada pahit. Ada kelat ada masam.Saat getir lagi payah. Situasi mendesak dan menekan. Bingung.

Kita lalui semuanya dengan bergigih tika berdepan tanpa ada pilihan. Redah sahaja namun tetap dengan rasional. Dengan ilmu.

Usah pendam sendirian. Memang ada kalanya tiada yang faham situasi kita. Tetapi Dia Maha Tahu, memerhati dan menunggu kedatangan kita. Mengadulah kepadanya. Bila-bila masa tanpa perlu ada temujanji. Paling indah tentunya di sepertiga malam.

Luah dan adu sebanyaknya kerana Dia Maha Mendengar, mendengar segala luahan samada yang ditutur atau yang dibisik jauh di sudut hati. Ya. Dia sesungguhnya Maha Lembut terhadap hamba-hambaNya.

Tarik nafas dalam-dalam dan lepaskan perlahan-lahan. Ukir senyum kerana senyum itu satu getaran indah yang memujuk jiwa. Senyum sepuas-puasnya. Walau air mata terus mengalir. Senyumlah. Itu tanda kita sabar dan redha.




.

Saturday, March 18, 2017

Abah - Sesi Bercakap dengan Pokok Mawar



Menunggu tibanya waktu petang, tiba-tiba terasa lambat pula jarum jam bergerak. Berdebar. Teruja. Adik-adik memandang pelik. Hairan. "Mengapa kakak teruja amat?"

Akhirnya waktu petang yang dinanti tiba. "Ini rumah baru kamu semua. Duduk baik-baik. Cepat-cepat berbunga. Biar halaman kita berwarna-warni dan harum mewangi!"
Ranting mawar yang mula berputik segar bertukar rumah kepada yang lebih besar dan lebih selesa. Saya susun berderet di tepi rumah. Kesemua berjumlah lapan buah pasu comel.

"Hujung minggu ini bolehlah kutip baja!" Che' mengingatkan satu tugasan baru. "Setiap hari juga semua pokok ini perlu disiram."
Saya mengangguk penuh teruja. "Baik!"

Bermulalah rutin baru dalam hidup. Setiap pagi sebelum ke sekolah, siram pokok bunga mawar. Waktu petang sekali lagi disiram. Tidak lupa sesi berbual-bual dengan mereka, pujuk mereka cepat berbunga.
"Esok, saya hidangan kamu makanan terbaik. Supaya kamu terus sihat dan berbunga tidak putus-putus!"



Che'



Ibu = Emak = Mama = Ummi

                    =

                 CHE'

Kami adik-beradik memanggil ibu/emak dengan panggilan Che'.

Begitulah lebih kurang ejaannya buat masa ini.

Bunyinya bukan Cek (bank).

Bunyinya bukan makcik.

Bunyinya lebih kurang macam cikpuan (che').

Saya mahu kekalkan panggilan ini dalam bercerita. Ia lebih dekat di hati walaupun fokus cerita kali ini ialah Abah.


Friday, March 17, 2017

Abah - Baja?


Darjah empat, hati saya mula berbunga-bunga. Minat melihat bunga-bunga di taman sambil menyanyi lagu entah apa-apa. Hmm... dalam hati mula ada tamankah? Minat melampau ini mendesak saya mengumpul semua tin susu adik-adik yang bersaiz besar. Bukan tin susu pekat, ya.

Saya tebuk bahagian bawahnya dan isi tanah. Bukan sebarang tanah. Tanah diangkut daripada tepi paya yang berjarak kira-kira 500 meter dari rumah. Saya sendiri tidak percaya, bagaimana boleh saya bergigih mengangkutnya hampir setiap hari. Semata-mata mahukan tanah yang berkualiti demi pokok mawar/ros yang disemai. Ranting-ranting mawar direndam ke dalam air sehingga terbit putik barulah boleh dialih ke bekas tin susu.

"Sekiranya mahu pokok berbunga sepanjang musim, bubuhlah baja seminggu sekali," Abah memberi tunjuk ajar. Che' yang turut membantu mengisi tanah ke dalam tin-tin susu menyokong idea Abah.

Saya mengangguk-angguk tanda faham dengan dahi berkerut. "Baja? Bagaimana mahu dapatkan baja?"

Abah tergelak. Che' terkekek-kekek. Saya keliru. Lucukah?

"Oooo tentu mahal, bukan?"

Mereka terus ketawa. Saya turut ketawa. Geli hati. Berjangkit virus tawa ini.

"Memang mahal. Tetapi, kita dapat percuma. Alhamdulillah," tambah Abah sambil menahan gelak.

"Alhamdulillah!" Sahut saya pula.








Thursday, March 16, 2017

Hospital - Hospital vs Rumah Sakit


Dahulu ia dinamakan rumah sakit. Sebut sahaja rumah sakit terbayang sebuah rumah besar dipenuhi oleh orang sakit. Ada yang menahan sakit, ada yang menjerit kesakitan. Sungguh menakutkan. Apatah lagi sekiranya diri sendiri menjadi pesakit di rumah sakit itu. Oh, tidak!!!

Kini, ia disebut hospital. Mungkin agak kebaratan bunyinya. Namun, ia lebih mesra walaupun sama sahaja hakikatnya. Isinya masih dipenuhi dengan orang sakit. Berbagai jenis sakit. Apabila diri sendiri menjadi penghuninya, ia tidaklah sekekok mana. Sebuah bilik panjang yang dipenuhi dengan deretan katil, dan di hujungnya ada beberapa buah bilik air dan bilik mandi. Ada tukang cuci bekerja secara shif setia menjalankan tugas. Sesekali kami berborak. Dia sambil menyapu, kami sambil berbaring di atas katil masing-masing. Harmoni!

Kadang, menukar sebutan kepada yang lebih mesra dan harmoni begitu mengesankan walau hakikatnya sama. Begitu juga dalam lain-lain situasi hidup. Menukar perkataan atau ayat kepada yang lebih mesra dan alami lagi harmoni mampu merapatkan hubungan. Malah lebih dekat membawa kita kepada Pencipta Segala apa yang ada di langit, di bumi dan di antaranya.