Saya bukanlah seorang motivator atau penasihat atau yang seumpama dengannya. Pun begitu, sebagai insan, kita melalui perjalanan hidup yang berbagai-bagai. Adakala, kita bergembira dan tidak kurang juga detik sedih dan lara ditempohi. Perjalanan ini tentunya menjadi medan studi yang paling berkesan.
Sepanjang kembara hidup tentunya kita tidak sendirian. Amat tidak tepat kiranya, kita mendakwa bahawa kita menjalani hidup sendirian kerana sebagai insan, kita memerlukan insan lain dalam hidup ini. Ibu, ayah...tanpa mereka tidaklah wujudnya kita di dunia ini. Seterusnya, kaum keluarga, sanak-saudara dan sahabat-handai.
Pergaulan sesama insan rapat ini tentunya melahirkan bibit-bibit yang pelbagai rasa dan warna. Adakala kita berasa dimuliakan, diperlukan namun tidak kurang juga ditimpa rasa rendah diri, terasing atau tersingkir. Bagaimana kita menanganinya?
Renung diri, selami diri, kenali diri bagi mengenali siapa mereka di sisi kita. Bukan siapa kita di sisi mereka. Ia dua persepsi berbeza. Pandangan mereka terhadap kita tentu berbeza dengan pandangan kita terhadap mereka.
Apa yang penting, secara sedar, kita memujuk diri merai dan memuliakan semua insan yang berada dalam lingkungan hidup kita sebaik mungkin. Mengapa? Kerana, mereka amat penting dalam perjalanan hidup kita. Bagaimana pula persepsi mereka terhadap kita? Tentunya, kita tidak dapat mengawal dan memaksa sesiapa pun menyukai kita. Atau mendesak mereka melihat kita dengan persepsi yang kita kehendaki.
Dalam apa situasi pun, harapan kita biarlah sentiasa tertanam 'rasa mahu' berbuat kebaikan walau kepada sesiapa pun hatta kepada haiwan atau tumbuhan malah seluruh alam ini. Mengapa? Kerana kita sama-sama makhluk Tuhan yang berkongsi sedikit ruang sebelum kembali pulang kepadaNya.
No comments:
Post a Comment