Saturday, July 20, 2013

Bercerita Sebelum Tidur: Bersedekah

Di antara aktiviti paling indah dilakukan bersama anak-anak di bulan rahmah ini, selain bertadarus ialah bersedekah. Seharian berlapar dahaga, sedikit sebanyak memberi rasa insaf betapa situasi orang-orang yang berada dalam kesempitan atau mereka yang ditimpa musibah. Samada saudara-saudara seIslam yang berada di dalam negeri atau di luar sana.

Begitu ramai yang memerlukan peduli kita. Itu yang perlu kita tanamkan ke dalam diri anak-anak. Bukan setakat memikir apa juadah berbuka puasa untuk kita sekeluarga petang ini. Malah lebih jauh lagi, kita melihat saudara-saudara yang sedang gigih berjuang berkorban harta dan nyawa demi Islam.

Ajak anak-anak sertai sama setiap kali anda mahu bersedekah. Latih mereka memasukkan sedekah walau pun RM1 ke dalam tabung setiap kali  berkunjung ke masjid, misalnya. Ajar mereka memasang niat mendapat keberkatan Allah SWT dalam setiap pekerjaan yang mahu dilakukan. Memulakan dengan jumlah yang sedikit. Lebih jauh lagi sekiranya ada peluang, anda boleh bersedekah ke rumah anak-anak yatim atau persatuan-persatuan yang menguruskan kebajikan saudara kita samada di dalam atau di luar negara.

Permerhatian anak-anak hari ini menjadi inspirasai mereka di masa akan datang, tatkala mereka menginjak dewasa. Adakalanya kita sebagai ibu bapa tidak perlu bercakap banyak atau menjelaskan itu dan ini dengan penerangan panjang lebar. Memadai dengan mempamerkan akhlak yang indah (sedekah, salah satunya) maka ia memadai menerangkan segala-galanya. Wallahu a'lam.


No comments: