Monday, February 18, 2013

Bercerita sebelum tidur: Gaya gurauan

Kerap berlaku perkara-perkara yang dianggap remeh bagi kita tetapi ia besar maknanya bagi anak-anak. Perkara yang dilihat besar rupa-rupanya kecil di mata anak-anak. Apabila melakukan sesuatu yang melibatkan diri anak-anak atau mahu melibatkan anak-anak, ibu bapa perlu melihat dari kacamata seorang anak.

Semasa bercerita juga kita dapat melihat kerenah anak-anak. Ada kalanya mereka berebut-rebut bantal dalam pelukan adik atau kakak atau abang mereka. Adakalanya salah seorang daripada menyiku orang di sebelahnya dan adakalanya tidak semena-mena salah seorang daripada mereka menjelirkan lidah kepada adiknya sebaik sahaja adik terpandang kepadanya.

Sudah tentu penceritaan terganggu dan anda akan sibuk mententeramkan situasi. Apa yang penting di sini, jangan sekali-kali menyalahkan sesiapa di antara mereka. Bersikap kreatif dan pupuk rasa berbaik sangka di kalangan anak-anak kerana semua itu gaya gurauan anak-anak. Jangan sekali-kali ibu bapa mengambil serius dan memarahi mereka.

Ibu bapa harus ingat, tujuan utama bercerita ialah memupuk nilai moral. Ibu bapa ialah model terdekat, di hadapan mata anak-anak. Walau pun anda bercerita berbagai kisah tauladan itu dan ini, tetapi di masa yang sama terlupa tentang akhlak diri sendiri, bermakna kita sebagai ibu bapa juga perlu bermuhasabah. Perlu sama-sama menghadamkan semua kisah yang dikongsikan itu.

Secara sedar atau tidak, kisah-kisah tauladan yang dibaca juga mengoreksi diri kita sebagai orang dewasa. Sebab itu adakalanya saya kurang setuju buku-buku cerita nipis itu dikhususkan untuk kanak-kanak sahaja. terutamanya kisah-kisah sejarah Islam dan akhlak pekerti mulia. Kita, orang dewasa juga perlukan cerita-cerita begitu bagi memuhasabah diri kerana tema yang dibawakan, samada persahabatan, akhlak dan sebagainya, itulah juga isu tenat yang berlaku di kalangan orang dewasa sekarang.


No comments: