Di antara kesan yang dapat dilihat ialah tahap kematangan anak-anak. Jangan salah faham dengan perkataan matang ini.
Dalam usia 5-7 tahun anak-anak sudah tahu tentang nama-nama nabi,tahu serba ringkas kehidupan nabi sewaktu kecil, siapa yang mengasuh nabi dan sebagainya. Mereka pandai mengaji. Ada yang khatam quran sebelum masuk ke darjah satu. Begitu juga tentang kisah haiwan, mereka tahu kura-kura makan sayur tidak makan daging, harimau makan daging dan tidak makan sayur. Melalui berbagai cerita samada kisah benar atau rekaan atau kisah haiwan, mereka didedahkan dengan contoh akhlak terpuji; menghormati orang tua, sayangi yang muda, suka menolong, bercakap benar dan banyak lagi. Semua itu ilmu, pengetahuan dan informasi. Semua informasi itu mereka boleh dapati dalam sesi bercerita sebelum tidur dan di masa-masa yang di luarnya.
Dalam kita membuat perkongsian ini, jangan pula berlaku desakan atau memberi tekanan. Contoh; kamu mesti berubah! jangan buat lagi perangai buruk! Mesti itu dan mesti ini. Jangan itu dan jangan ini.Kamu mesti faham mesej cerita ini! ...Oh! Bukan begitu caranya.
Ini amat bahaya kerana akan berlaku cedera emosi dalam diri anak-anak. Jangan sekali-kali, kerana mahu mematangkan anak-anak, mahu anak-anak bijak, berlaku tindakan mentuakan mereka sebelum usianya. Mendewasakan anak-anak sebelum usianya.
Perkara ini sering berlaku tanpa sedar. Amat perlu sekali berhati-hati dalam tutur kata walau pun ketika itu kita berhadapan dengan anak-anak kecil. Zaman kanak-kanak perlu dikecapi sepenuhnya dengan penuh ceria dan seronok. Sehingga apabila mereka dewasa, mereka rindukan zaman kanak-kanak bukan sebaliknya.
Bagi mengelakkan perkara sedemikian berlaku, rancang apa yang hendak dicerita, apa yang mahu diselitkan semasa bercerita. Sepanjang waktu itu kita bercakap. Awasi pertuturan kita. Jangan sekali-kali mengambil remeh hanya kerana di hadapan kita hanya anak-anak kecil yang walau pun merajuk sekejap sahaja atau mereka tidak mudah berkecil hati. Itu hanya anggapan kita sahaja. Sesekali elok juga mengimbas zaman kanak-kanak kita sendiri bagi diambil pengajaran.
Selebihnya, terus berdoa kepada Allah memohon ampunan atas keterlanjuran kata dan mohon petunjuk dan bimbingan daripada-Nya. Insya Allah, anda tidak bersendirian.
No comments:
Post a Comment