Monday, October 16, 2006

Selamanya kita seorang anak kecil di mata ibu

Apakah ertinya kata kata ibu bahawa kita sudah dewasa? Adakah ibu akan melepaskan kita tanpa kasih sayang? Adakah ibu akan membiarkan kita melalui hidup penuh pancaroba tanpa ibu di sisi lagi? Adakah kasih ibu akan berkurangan sebaik kita meningkat dewasa?
Tentulah jawapannya, tidak sekali kali. Ibu tidak mungkin melepaskan kita, membiarkan kita tanpa ambil peduli. Tidak sekali kali. Lirik matanya memerhatikan gerak geri kita namun tidak usahlah kita merasa rimas atau gelabah kerana lirikan ibu lirikan penuh kasih, penuh cinta yang tidak berbelah bagi. Kasih ibu kasih selamanya. Semakin kita meningkat dewasa semakin kuat cinta dan kasih ibu terhadap kita. Malah kerinduannya semakin mencengkam terhadap kita. Mengapa?
Di mata ibu, kita sentiasa seorang anak kecil. Seorang anak yang perlu dipimpin. Perlu dinasihati dan masih perlu diambil peduli walaupun kadang kala kita mengungkap kata kata ibu sebagai satu leteran kerana tidak jemunya ibu menasihati kita siang dan malam. Sehingga kita sendiri hairan dan tertanya-tanya. Tidak penatkah mulut ibu memberi nasihat tidak kira waktu siang malam, pagi dan petang? Tidak keringkah air liur ibu? Sedangkan telinga kita yang mendengar nasihat pula keletihan dan kepenatan mendengarnya.
Ada kalanya nasihat dan teguran ibu yang kita dengar sekadar masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Tidak adil, bukan? Mulut ibu jenuh mengungkap kata kata yang sekiranya disusun sebagai skrip, entah berapa buku boleh kita cetak sedang berapa peratus dari teguran ibu yang terlekat di hati kita atau sekadar halwa telinga yang membingitkan semata mata. Mengapa ibu tidak jemu jemu mengeluarkan kata kata nasihatnya?
Walaupun kadang kala nalurinya jelas bahawa kita tidak berminat untuk mendengar apatah lagi untuk menerima kata katanya? Semuanya hanya disebabkan kita ialah permata hatinya, buah hatinya, belahan jantungnya. Mana mungkin ibu akan membiarkan kita tanpa mengambil peduli dan berpura pura tidak kisah dengan tingkah laku kita. Ibu akan terus berkata kata selagi dia mampu bersuara. Ibu akan terus berleter.
Cemasnya ibu apabila kita tiada di hadapannya. Risau, bimbang dan berbagai bagai perasaan bermain di hati dan fikirannya. Apakan daya ibu terpaksa melepaskan kita untuk ke sekolah, berada jauh dari sisinya untuk melanjutkan pelajaran, bekerja dan sebagainya. Apa ibu lakukan diketika itu? Ibu menadah tangan memanjatkan doa untuk kita, "Ya Allah yang Maha Pelindung, lindungilah permata hatiku, buah hatiku, belahan jantungku. Peliharalah dia dan permudahkanlah segala urusannya."
Apabila berjauhan, ibu tidak lagi berselera menjamah makanan. Lebih lebih lagi ketika melihat makanan kegemaran kita. Hati ibu tersentuh apabila melihat tempat tidur kita, pakaian kita, meja studi kita dan setiap sudut rumah dibayangi wajah kita. Ibu rindukan suara gelak tawa dan merajuk kita. Begitu ibu menanggong rindu dendam.
Hati ibu menjadi sebak teringatkan kita jauh di rantau. Bagaimana makan minum kita, kesihatan kita, pelajaran kita, pergaulan kita. Paling dirisaukannya pandaikah kita membawa diri di tempat orang. Ingatkah kita akan segala pesannya selama ini? Banyak ibu jatuh sakit kerana tidak mampu menahan rindu namun tidak kurang juga yang tabah menanggong derita perpisahan dan redha menanggong kerinduan berpisah dengan permata hatinya. Siapakah permata hati ibu itu? Tidak lain tidak bukan, itulah kita.
Apakah pesan ibu yang paling terkesan di hati kita? Setiap ibu mempunyai latar belakang yang berbeza. Usahlah membandingkan ibu kita dengan ibu orang itu dan ibu orang ini. Setiap ibu mahu yang terbaik untuk anaknya. Malah ibu mahu kita berada di tempat yang lebih baik daripadanya. Tidak kiralah di sudut mana sekalipun. Terutama di dalam peluang menuntut ilmu. Ibu amat menginginkan anaknya menjadi anak yang baik. Anak yang taat kepada Allah. Anak yang mahu mengelokkan akhlaknya, tahu membawa diri dan tidak membiarkan diri berada di kalangan yang boleh merosakkan. Leganya hati ibu apabila mengetahui ini terjadi keapda anaknya. Anaknya selamat di dalam peliharaan Allah. Namun doanya tetap tidak putus putus.
Bagaimana pula keadaan kita ketika berjauhan dari ibu? Adakah kita serindu ibu merindui kita? Tentu sahaja kita juga merindui ibu....rindukan sentuhan ibu, senyum dan tawa ibu, leteran suara ibu yang dulunya terasa tebal cuping telinga mendengarnya. Kini, telinga kita amat merindui suara suara itu. Ibu.....anakmu juga amat merinduimu....
Cuma....ada kalanya kita sukar menterjemahkan perasaan rindu dan kasih itu kepada realiti. Kita lebih senang termenung sendirian, tersenyum sendiri mengenangkan saat saat bersama ibu. Kita keberatan untuk menghubungi ibu, bertanya khabar, berbual dan bercerita untuk menghiburkan hati ibu. Sedangkan itulah yang ditunggu ibu. Mendengar suara kita ibarat mendengar satu alunan irama yang mengasyikkan tetapi kita lebih leka dengan alunan lagu yang kita sendiri tidak tahu ke mana irama itu akan mengheret kita. Kepada cinta kasih yang penuh khayalan sehingga tersengih sendirian membayangkan entah apa apa.
Waktu sehari selama dua puluh empat jam sudah termaktub. Betapa sibuk sekalipun kita pada hari itu apabila tiba waktu menunaikan perintah Allah untuk mendirikan sembahyang maka kita terpaksa akur. Kita mesti menunaikan suruhan itu di dalam tempoh waktu yang diberi. Sebagai seorang hamba Allah yang taat kita akur dan menunaikannya sebaik mungkin tanpa prejudis. Itulah disiplin. Islam mengajar kita hidup berdisiplin. Kita belajar mengatur jadual hidup sejak awal lagi. Masukkan juga ibu di dalam jadual hidup kita.
Hikmat mendirikan sembahyang seusia tujuh tahun melatih kita hidup berdisiplin. Berdisiplin di dalam sembahyang akan membawa kita hidup berdisiplin di luar sembahyang juga. Kita belajar mengatur masa dan mengisi masa selama dua puluh empat jam sehari semalam dengan bijak.

No comments: