Wednesday, January 28, 2015

Solo vs Group

Masing-masing tentunya ada kelebihan, tidak kurang ada lemahnya juga. Kerja secara solo, ikut sahaja kepala kita. Tidak perlu pening-pening mahu merai ahli group. Bebas juga berbuat apa sahaja, di mana sahaja, di waktu apa sekali pun. Suka-suka hati kita sahaja.

Manakala kerja bergroup/berkumpulan sedikit tercabar. Harus mengambil kira pandangan ahli lain. Perlu mengawal emosi kerja dan jaga target siap kerja. Tidak boleh suka-suka hati kita sahaja.

Di antara kedua-dua cara kerja ini, yang mana satu jadi pilihan?
Kedua-dua miliki nikmat tersendiri. Ada manisnya tersendiri. Umpama diminta memilih buah epal atau buah manggis. Tentu sukar memilih mana yang paling bagus sebab kedua-duanya bagus dan ada rasanya tersendiri. Juga bergantung di waktu mana kita mahu menikmatinya.

Kesimpulan saya mudah sahaja. Ada ketikanya saya mahukan epal ketika berkelah di tepi tasik dan ada ketikanya saya mahukan manggis ketika duduk-duduk di halaman rumah.

Perbandingan yang tidak munasabah? Usah pusing-pusing. Fikir yang positif saja. Yuk!



Sumber gambar buah-buahan dari internet

Edit Laku

Sedar atau tidak, ada kalanya tutur kita menyinggung rasa yang mendengar. Bagi kita apa yang ditutur itu biasa-biasa sahaja. Bagaimana boleh menyinggung rasa pula? Jom audit edit laku.

A: Anak berapa?
B: (Senyum)Dua orang. Alhamdulillah.
A: (Berkerut dahi) Dua jer?
B: (Senyum)Alhamdulillah. Sepasang.
A: (Berkerut dahi)Sepasang jer?
B: (Senyum) Alhamdulillah.... Awak?
A: (Bangga)Saya, enam. Tiga lelaki, tiga perempuan.
B: (Teruja)Alhamdulillah. Tiga pasang tu!
C: (Jerit) Nombor 10!
B: Nurse panggil nombor saya tu. Pergi dulu ya. Doa saya, awak sentiasa dimurahkan rezeki.
A: (Senyum) Terima kasih. Jumpa lagi ya!
B: (Senyum) Insya Allah. Assalamualaikum.

Monday, January 26, 2015

Apa Kelebihan Saya?

Kuku menilik diri sendiri kemudian memandang
semula kepada ayahnya. “Apa kelebihan saya?
Saya tidak boleh terbang!” (...petikan Buku Cerita Bergambar untuk kanak-kanak)


p/s Bagaimana mahu menerangkan kepada anak-anak apabila timbul situasi begini? Tentunya ibu bapa perlu kreatif dalam memberi jawaban.

Friday, January 23, 2015

Kelebihan vs Kekurangan

Saya bukanlah seorang motivator atau penasihat atau yang seumpama dengannya. Pun begitu, sebagai insan, kita melalui perjalanan hidup yang berbagai-bagai. Adakala, kita bergembira dan tidak kurang juga detik sedih dan lara ditempohi. Perjalanan ini tentunya menjadi medan studi yang paling berkesan.

Sepanjang kembara hidup tentunya kita tidak sendirian. Amat tidak tepat kiranya, kita mendakwa bahawa kita menjalani hidup sendirian kerana sebagai insan, kita memerlukan insan lain dalam hidup ini. Ibu, ayah...tanpa mereka tidaklah wujudnya kita di dunia ini. Seterusnya, kaum keluarga, sanak-saudara dan sahabat-handai.

Pergaulan sesama insan rapat ini tentunya melahirkan bibit-bibit yang pelbagai rasa dan warna. Adakala kita berasa dimuliakan, diperlukan namun tidak kurang juga ditimpa rasa rendah diri, terasing atau tersingkir. Bagaimana kita menanganinya?

Renung diri, selami diri, kenali diri bagi mengenali siapa mereka di sisi kita. Bukan siapa kita di sisi mereka. Ia dua persepsi berbeza. Pandangan mereka terhadap kita tentu berbeza dengan pandangan kita terhadap mereka.

Apa yang penting, secara sedar, kita memujuk diri merai dan memuliakan semua insan yang berada dalam lingkungan hidup kita sebaik mungkin. Mengapa? Kerana, mereka amat penting dalam perjalanan hidup kita. Bagaimana pula persepsi mereka terhadap kita? Tentunya, kita tidak dapat mengawal dan memaksa sesiapa pun menyukai kita. Atau mendesak mereka melihat kita dengan persepsi yang kita kehendaki.

Dalam apa situasi pun, harapan kita biarlah sentiasa tertanam 'rasa mahu' berbuat kebaikan walau kepada sesiapa pun hatta kepada haiwan atau tumbuhan malah seluruh alam ini. Mengapa? Kerana kita sama-sama makhluk Tuhan yang berkongsi sedikit ruang sebelum kembali pulang kepadaNya.






Dan kita?

“Saya lihat burung-burung terbang bebas di langit.”
 
Ibu Kuku pula menambah, “Mereka juga seperti
kita. Pagi-pagi, keluar mencari makan.”

“Tetapi, mereka terbang. Kita pula, hanya
berjalan. Malah perlahan-lahan sahaja.”

Ayah Kuku pula menjawab. “Mereka dikurniakan
sepasang sayap, sebab itu mereka terbang.”

“Dan kita?” soal Kuku dengan mata
terkebil-kebil memerhati ke langit.

...petikan kisah bersiri, istimewa untuk kanak-kanak.
Moral: Mengajak mereka sama-sama melihat bahawa setiap kejadian Tuhan itu pasti ada kelebihannya.

Saturday, January 17, 2015



Kita meminta, apa yang kita mahu


dan


Allah memberi, apa yang kita perlu







Sunday, January 11, 2015

Hargai Diri, Pelihara Maruah

Setiap fenomina, musibah atau apa pun ia dinamakan, seringkali ia bersangkutan dengan diri kita. Sejauh mana kita meluaskan medan kerja, melebarkannya sehingga sampai kepada bukan golongan tertentu sahaja. Adakah kita terlalu memilih dalam medan kerja?

Adakah kerana sikap kita yang lebih mementingkan cara kita dibesarkan sehingga kita terlupa pesan Saidina Umar Al Khattab?

Secara peribadi, saya tidak melihat ini sebagai satu kesalahan yang secara total dihumbankan hanya kepada individu terbabit atau ibu bapa mereka sahaja. Bagaimana pula dengan kita sebagai sebahagian daripada kelompok masyarakat malah seagama dengan mereka?

Budaya menuding jari perlu diubah. Budaya merenung diri perlu diperluas. Melihat diri sebagai berperanan dalam masyarakat dan ummah. Apa tugas kita?

Tidak perlu tunggu didendang baru mahu bekerja. Tidak perlu. Lakukan sahaja dengan bergigih dan bertabah. Bukankah kita mendambakan pengiktirafan daripada Allah Azza Wajalla?

Bekerja bukan bersendirian malah beramai-ramai. Bersama, berjemaah. Kerana, mampukah kita melakukannya sendirian?

Melihat dengan kasih dan sayang. Betapa, mereka memerlukan kita.

Thursday, January 08, 2015

Sahabat sejati itu,
tatkala kita memerlukan pertolongan darinya,
dia berupaya membantu
sesuai dengan kemampuannya. 
(Imam Al Ghazali)

Tuesday, January 06, 2015

Didiklah anakmu mengikut zamannya 
kerana mereka dilahirkan bukan di zamanmu. 
(Saidina Umar Al Khattab r.a)