Monday, September 28, 2009

Seronoknya Raya







Hari Raya keempat kami bertolak ke Johor. Raya ketujuh pula kami mengadakan Sambutan Hari Raya di sana. Memang meriah apabila beberapa lapisan generasi bertemu sehigga terlupa juadah yang terhidang. Kenyang berbual dan lihat berbagai acara yang disediakan terutamanya untuk anak-anak. Acara mencari harta karun paling meriah selain acara meniup belon dan rebut kerusi disediakan bagi remaja. Memang tidak kering gusi siapa sahaja yang menontonnya!

Sayangnya, kami tidak berkesempatan mengambil gambar kerana semuanya sibuk di lokasi sebagai pengadil dan sebagainya. Walau bagaimana pun, jurugambar bertugas setia merakam semua kenangan. Mungkin kita boleh dapatkan beberapa gambar menarik daripadanya. Selepas bersurai sempat juga merakamkan beberapa aksi menarik buat renungan bersama.

Empat pemenang terpilih bagi acara mencari harta karun akan mendapat hadiah misteri daripada Ezee Rahmani. Mereka ialah,
1. Iffah Rasyidah bt Zaini
2. Sanisah bt Morney
3. Mohammad Norazam b Kamarudin
4. Muhammad Syahruni b Morney

Tunggu hadiahnya, ya!

Meriahnya Raya






Sudah seminggu kita semua berhari raya. Minggu ini pula tentu sudah ada di kalangan kita yang mula berpuasa enam pula. PErsekolahan pun sudah bermula seperti biasa namun mood raya tetap dirasai.Bagaimana hari raya anak-anak kali ini? Tentu meriah, bukan?

Daripada emel yang diterima semuanya menggambarkan kemeriahan bermula dari bulan Ramadhan hingga menjelang Syawal. Seronok membaca emel anak-anak semua. Geli hati pun ada kerana ada yang tanya mahu panggil apa. Ada yang mahu panggil Cik Ez, Mama Ez, Ummi EZ dan Makcik Ez. Ramai yang mahu panggil Cik Ez! Balik kampung pun sama situasinya. Apa-apa pun boleh :)

Cik ez (he he he kali ini Ezee Rahmani menerima cadangan panggilan disukai ramai,Cik ez) harap, anak-anak semua sihat sejahtera. Maklumlah hari raya ini memang banyak kuih muih dan minuman berbagai warna dan rasa yang terhidang. TEtapi kemampuan perut perlu diambil kira juga, bukan? kasihan perut sekiranya terlebih muatan :) Akibatnya pula memang kita semua tahu. Ada yang sakit perut, senak perut, muntah-muntah dan macam-macam lagi.

Kami sekeluarga merayakan Eidul Fitri di Terengganu dan Johor. Berkumpul dan bertemu sanak saudara dan kenalan memang seronok. Banyak cerita yang hendak dikongsi.KElakar dan menggelikan hati pula apabila semua orang mahu bercakap dan bercerita sehingga suasana menjadi riuh rendah, meriah sekali sehingga ada yang tidur lewat malam. Sedar-sedar bunyi ayam berkokok!

Malam raya kedua di TErengganu, kami mengadakan BBQ. Sempat juga Cik ez merakamkan beberapa aksi pembaca-pembaca cilik yang sentiasa menunggu-nunggu novel terbaru Ezee Rahmani. TErima kasih kepada semua yang sentiasa memberi sokongan :)

Sunday, September 13, 2009

Makluman

Ruang sembang dicemari oleh pengunjung yang menggunakan nama samaran ez. Buat masa ini ezee rahmani tidak akan membalas komen di shout box. Abaikan semua komen yang menggunakan nama ez. KOmen terakhir ezee rahmani ialah yang bertarikh 12Sept 09. 20:26.

Selepas komen itu bukan ezee rahmani lagi yang memberi komen kecuali penyamar semata-mata. Hanya Allah sahaja yang tahu apa niatnya. Sebarang kekeliruan kami mohon berbanyak maaf. Semoga Allah memulihkan semula suasana di blog ini dengan kehadiran pengunjung-pengunjung yang berhati mulia, yang sentiasa memberi sokongan dan pandangan. Kami amat menghargainya. Terima kasih.

p/s Kepada umi azrini, terima kasih di atas pandangan. Bolehlah berkunjung di blog bukuez.blogspot.com/ bagi melihat senarai buku-buku ezee rahmani, ya :).

Sekiranya ada sebarang pertanyaan atau apa-apa pandangan, bolehlah emelkan kepada ezeerahmani@yahoo.com.

Saturday, September 12, 2009

Selamat Hari Raya Edul Fitri

Kami mengucapkan selamat hari raya Edul Fitri dan tidak lupa memohon kemaafan kepada semua pengunjung blog bicaraku-ez yang sentiasa meluangkan masa menjenguk dan mengutus emel, di atas segala kesilapan atau keterlanjuran yang pernah dilakukan secara tidak sengaja sepanjang blog ini beroperasi. Blog bicaraku-ez akan kembali aktif selepas hari raya.

Bagi kesekian kalinya, dukacita dimaklumkan kes penyamaran timbul kembali walau pun mUngkin di pihak sana merasa puas dan gembira kerana dapat mempermain-mainkan orang lain. Memang kita sukar mengerti kehendak sesetengah orang, bukan? Namun apa yang penting, di bulan mulia ini kita kembali merenung kesilapan diri, kealpaan diri yang sengaja kita lakukan atau pun yang tidak sengaja kita lakukan. Mudah-mudahan Allah memberi keampunan-Nya dan memberi ruang dan peluang kepada kita memperbaiki akhlak ke arah yang lebih cemerlang dan diredhai-Nya.

Abaikan segala kata-kata yang tertera di shout box yang menggunakan nama samaran ez pada tarikh 13Sept 02:01, 13Sept 02:02 dan 13 Sept 02:06.

Malam Kemuliaan

Sesungguhnya Kami menurunkan (Al Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya bagi mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.
(Surah Al Qadr:1 - 5)


Maha Kasih dan Maha Sayang Allah kepada hamba-hamba-Nya, di bulan Ramadhan ini dikurniakan pula satu malam yang penuh kemuliaan dan lebih baik dari seribu bulan. Inilah peluang keemasan untuk kita merebut dan manfaatkan anugerah Allah ini. Inilah peluang kita membersihkan segala kesalahan dan mengharapkan keampunan-Nya yang Maha Pemurah dan Maha Mengampuni.

Sama-sama kita mengoptimumkan ibadah dan amalan di malam-malam terakhir ini.

Emelkan kepada ezeerahmani@yahoo.com untuk bercerita lebih lanjut tentang bagaimana adik-adik memeriahkan bulan ibadah ini.

Tuesday, September 01, 2009

UPSR di bulan Ramadhan

Hanya beberapa hari sahaja lagi adik-adik di tahun enam sekolah rendah akan menghadapi peperiksaan UPSR. Hebatnya tahun ini ialah, UPSR berlangsung di bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan dan penuh kemuliaan.

Tentu adik-adik sudah bersiap-siaga menjelang hari-hari yang bakal menjadi sejarah dalam diari hidup tahun ini. Menjelang hari-hari terakhir ini juga, banyakkan berdoa, mohon kekuatan kepada Allah bagi menghadapinya dengan tenang dan dapat menjawab soalan-soalan dengan tepat.

Kami di sini, sentiasa mendoakan kejayaan dan kecemerlangan untuk adik-adik semua.